[VIDEO] Pengarah syarikat didakwa tipu urusan tanah, gubah wang haram RM3.7 juta
SHAH ALAM – Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 11 pertuduhan membabitkan penipuan pemindahan tanah serta pengubahan wang haram bernilai lebih RM3.7 juta, berkaitan kes yang didakwa berlaku hampir dua dekad lalu.
Tertuduh, Rama Rao Appalanadiu, 65, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan Pengarah RV Global Sdn Bhd didakwa memperdayakan UMW Corporations Sdn Bhd pada 18 Julai 2007 untuk menyerahkan tanah seluas lapan ekar dengan mendakwa beliau mewakili 136 bekas pekerja Ladang Serendah.
Pendakwaan mendakwa syarikat berkenaan tidak akan menyerahkan tanah terbabit sekiranya tidak diperdaya sedemikian.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Selain itu, lelaki terbabit turut berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) kerana didakwa terlibat secara langsung dalam pemindahan tanah kepada kerajaan Malaysia yang dipercayai hasil daripada aktiviti haram.
Dia juga didakwa atas lapan lagi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) akta sama kerana memindahkan hasil aktiviti haram berjumlah keseluruhan RM3,708,605.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa’ Zamri manakala tertuduh diwakili peguam, Teeruvarasu K. Muthusamy.
@malaysiatribune Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 11 pertuduhan membabitkan penipuan pemindahan tanah serta pengubahan wang haram bernilai lebih RM3.7 juta, berkaitan kes yang didakwa berlaku hampir dua dekad lalu. #beritasemasa #viralnews #malaysiatribunenews #beritaviral
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin.
Hakim turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Shah Alam setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 10 Jun depan untuk sebutan semula kes.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








