
Keselamatan siber kunci kejayaan ekonomi digital – Gobind
KUALA LUMPUR – Kerajaan komited dalam usaha memperkukuhkan aspek keselamatan siber negara bagi memastikan kejayaan ekonomi digital Malaysia.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, keselamatan siber menjadi asas penting kepada kekuatan ekonomi digital negara.

“Keselamatan siber akan terus menjadi asas utama dan prasyarat kritikal yang menentukan kehebatan ekonomi digital Malaysia,” katanya ketika berucap pada lawatan ke Pusat Keselamatan Siber Axiata (ACFC) di sini, hari ini.
Gobind turut memaklumkan bahawa Akta Keselamatan Siber yang digazetkan pada 26 Jun 2024 adalah salah satu langkah penting dalam memperkukuh keselamatan siber negara.
“Akta ini akan mewujudkan rangka kerja peraturan menyeluruh yang direka untuk memperkuat keselamatan siber negara dengan memerlukan pematuhan kepada langkah-langkah, standard dan proses khusus dalam pengurusan ancaman siber bagi entiti yang menguruskan Infrastruktur Maklumat Kritikal Nasional (NCII),” katanya lagi.
Beliau juga menggesa semua pihak agar meningkatkan kerjasama dalam usaha menangani jenayah siber yang semakin meningkat, terutama selepas pandemik.
Gobind berkata, sejak tahun 2021 hingga April 2024, sebanyak 95,837 kes penipuan dalam talian dilaporkan di negara ini, dengan kerugian mencecah RM3.18 bilion.
“Kerajaan serius dalam menangani ancaman siber dan akan terus bekerjasama dengan semua pihak untuk memastikan keselamatan ekonomi dan sosial negara,” katanya lagi.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa pindaan terbaru terhadap Rang Undang-Undang Perlindungan Data Peribadi akan meningkatkan daya saing digital Malaysia dengan memastikan pengurusan data peribadi yang lebih selamat.
“Organisasi kini diwajibkan untuk melantik Pegawai Perlindungan Data bagi memantau pematuhan terhadap undang-undang perlindungan data, termasuk pemberitahuan pelanggaran data, tanggungjawab pengguna data dan pemindahan data peribadi ke luar negara,” katanya lagi.
Gobind turut mengucapkan tahniah kepada Axiata atas kejayaan mereka membangunkan platform keselamatan siber canggih, HELIOS, yang memenangi anugerah Inovasi Keselamatan Siber (Produk) Terbaik pada Anugerah Keselamatan Siber Malaysia 2024.
“Ini menunjukkan komitmen Axiata dalam melindungi maklumat pelanggan dan menegakkan privasi data,” katanya.
Beliau berharap kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta dapat terus diperkukuh bagi menangani ancaman siber secara menyeluruh dan memastikan keselamatan negara terjamin.
“Kerjasama antara agensi awam dan swasta yang dimeterai hari ini adalah penting dalam memperkukuh daya tahan siber Malaysia dan memastikan kejayaan strategi keselamatan siber negara,” tambahnya lagi.
Gobind turut memaklumkan komitmen kerajaan dalam memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju digital di ASEAN dan seterusnya di peringkat global.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








