BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi siasat insiden keselamatan siber Prasarana Malaysia Berhad

KUALA LUMPUR – Kementerian Digital memandang serius insiden keselamatan siber yang melibatkan infrastruktur teknologi maklumat Prasarana Malaysia Berhad baru-baru ini.

Insiden tersebut membabitkan serangan ransomware yang dimuat naik oleh kumpulan bernama RansomHub di dark web pada 25 Ogos lalu.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pejabat pesuruhjaya mengarahkan Prasarana mengeluarkan Notifikasi Pelanggaran Data (DBN) selewat-lewatnya pada 29 Ogos lalu dan Prasarana telah mematuhi arahan tersebut.

“Pejabat Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi akan menjalankan siasatan bagi menentukan jenis pelanggaran yang berlaku dan data yang terlibat dalam insiden itu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Gobind berkata, siasatan juga akan menilai sama ada terdapat pelanggaran terhadap peruntukan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 serta tindakan selanjutnya yang perlu diambil.

“CyberSecurity Malaysia agensi di bawah Kementerian Digital, akan memberikan bantuan teknikal dalam proses siasatan itu,” katanya lagi.

Gobind menegaskan kepentingan untuk memastikan undang-undang dipatuhi apabila notifikasi pelanggaran data diterima oleh Pesuruhjaya.

“Kita mempunyai undang-undang yang menekankan kepentingan perlindungan data peribadi. Kita perlu tegas dalam hal itu.

“Pesuruhjaya akan menjalankan siasatan menyeluruh dan menentukan langkah seterusnya yang perlu diambil,” tambahnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button