JAKIM perkenal Sijil Halal Elektronik bermula 5 Mei lalu
KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kini melaksanakan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dalam bentuk elektronik (e-Cert), selaras dengan usaha pendigitalan perkhidmatan awam untuk meningkatkan kecekapan sistem penyampaian kerajaan.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata, pelaksanaan e-Cert yang bermula pada Isnin lalu, membolehkan semua permohonan SPHM yang telah diluluskan oleh Panel Pengesahan Halal Malaysia di peringkat JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), bermula 5 Mei lalu, diproses sepenuhnya secara digital.
“Pemohon yang menerima kelulusan kini boleh mencetak sendiri sijil halal melalui sistem MYeHALAL,” jelas beliau.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya syarikat masih memerlukan sijil halal dalam bentuk fizikal yang dicetak dan disahkan oleh pihak berkuasa, permohonan rasmi perlu dikemukakan melalui surat rasmi.
Percetakan fizikal itu dikategorikan sebagai Cetakan Semula SPHM dan akan dikenakan caj seperti yang dinyatakan dalam Klausa 13 Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020.
Tambah beliau, inisiatif itu mencerminkan komitmen JAKIM terhadap teras Malaysia MADANI dengan memberi tumpuan kepada inovasi dan pembangunan modal insan dalam pensijilan halal.
“Digitalisasi ini bukan sahaja menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi semasa, malah membantu mengurangkan kerenah birokrasi serta mempertingkatkan keberkesanan perkhidmatan kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan rasmi hari ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








