Anjur parti arak, sijil halal dua hotel lima bintang di Melaka dilucut
MELAKA – Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) membatalkan serta merta sijil halal dua hotel bertaraf lima bintang di negeri ini selepas dipercayai menganjurkan parti arak baru-baru ini.
EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, hasil maklumat orang awam, satu serbuan telah dilakukan dan pihaknya mendapati penganjur menggunakan dapur yang sama yang mendapat pensijilan halal di hotel berkenaan.
Menurut Rahmad, pihaknya mendapati terdapat bekas arak dicampur penggunaannya dengan peralatan dapur yang sudah dipersijilkan halal semasa acara berlangsung.
“Kesalahan itu juga diakui oleh pihak hotel dan kita mengambil tindakan tegas menarik semula serta-merta sijil halal yang dikeluarkan kira-kira lima tahun lalu,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, semalam.
Rahmad yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata, kedua-dua hotel terkemuka itu diberikan tempoh selama tiga bulan untuk membuat permohonan semula sijil halal.
Katanya, dalam tempoh berkenaan, sekiranya pihak JAIM berpuas hati, sijil halal akan dikembalikan dengan syarat mereka menepati semua syarat ditetapkan serta tidak mengulangi kesalahan sama di masa hadapan.
“Bagaimanapun setakat hari ini, mereka belum membuat permohonan semula dan JAIM akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan tiada kesalahan serupa dilakukan 30 lagi hotel lain yang mempunyai sijil halal,” katanya.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata ketegasan kerajaan negeri itu diharap dapat memberi keyakinan kepada orang ramai untuk berkunjung ke premis di Melaka yang sudah memperoleh sijil halal.
“Justeru, pada peringkat kerajaan negeri, kita tidak akan menganjurkan apa-apa program di hotel yang tiada persijilan halal sehinggalah mereka perolehi semula sijil berkenaan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








