BERITA SEMASA

JAKIM, agensi pembimbing jalin kerjasama strategik tingkatkan jumlah permohonan sijil halal

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sentiasa melaksanakan jalinan kerjasama strategik dengan agensi pembimbing usahawan bagi membantu meningkatkan jumlah permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) untuk produk kosmetik, produk farmaseutikal dan produk barang gunaan.

Timbalan Menteri Agama, Zulkfli Hassan berkata, dalam usaha ini, JAKIM memfokuskan kepada strategi bimbingan kepada industri bagi memastikan industri bersedia memohon pensijilan halal.

Antara langkah diambil termasuk mengadakan program kesedaran pensijilan halal kepada industri, mengadakan latihan intensif permohonan pensijilan halal kepada industri melalui Penyedia Latihan Halal dan Rakan Strategik yang diselaras oleh JAKIM, dan juga menganjurkan klinik halal sebagai bimbingan kepada pemohon pensijilan halal yang bermasalah.

“Melalui program bimbingan dan fasilitasi klinik halal yang dianjurkan secara berkala, ia menjadi platform yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pensijilan halal Malaysia.

“Program Halal on Track yang dianjurkan oleh JAKIM dengan kerjasama MAIN/JAIN yang merupakan ilham daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, juga merupakan antara inisiatif yang digerakkan sebagai platform membantu usahawan ke arah mendapatkan pensijilan halal Malaysia,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah di Dewan Rakyat, hari ini.

Abdul Khalib Abdullah sebelum itu bertanyakan mengenai usaha dan komitmen JAKIM bagi meningkatkan sijil pengesahan halal bagi produk bukan makanan seperti produk kosmetik, produk farmaseutikal, produk barang gunaan, produk peranti perubatan dan rumah sembelihan.

Zulkifli kemudiannya menambah, , kerjasama dengan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) turut diadakan dalam membimbing usahawan industri mikro mengemukakan permohonan pensijilan halal serta Program Halal on Track.

Menurutnya, JAKIM bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sentiasa menyediakan ruang dan platform kepada para usahawan untuk mendapatkan maklumat serta panduan bagi memohon SPHM.

Selain itu, kata Zulkifli lagi, kerjasama strategik dengan institusi perbankan turut dilaksanakan, antaranya melalui inisiatif seperti Solusi Halal Maybank dan Bank Islam (Projek Kiub Halal) bagi membantu usahawan khususnya Industri Kecil dan Mikro dari aspek prasarana sebagai persediaan untuk mendapatkan pensijilan halal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button