AGAMA

Adakah perlu qada semua solat jika tersalah lokasi aplikasi ketika travel, ini penjelasan JAKIM

KUALA LUMPUR – Individu yang tersilap menunaikan solat sebelum masuk waktu akibat kesalahan menetapkan lokasi pada aplikasi waktu solat tidak perlu panik atau terus menganggap kesemua solat berkenaan perlu diqada satu persatu.

Menurut penjelasan Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), perkara itu perlu dibezakan antara kesalahan yang dilakukan secara sengaja dengan kesilapan yang tidak disengajakan.

Katanya, situasi itu boleh berlaku apabila seseorang yang baru tiba di negara lain terlupa menukar lokasi dalam aplikasi waktu solat, menyebabkan waktu solat yang dipaparkan masih berdasarkan negara asal.

“Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nisa, ayat 103 yang bermaksud: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.

“Penjelasan itu turut menyatakan bahawa solat yang dilakukan sebelum masuk waktunya adalah tidak sah dan perlu digantikan. Imam Ibn Hajar al-Haitami menyimpulkan bahawa sengaja mengawalkan solat daripada waktunya termasuk dalam dosa besar, walaupun solat berkenaan kemudiannya diqada.

“Bagaimanapun, sekiranya seseorang benar-benar tersilap kerana menyangka waktu solat telah masuk, keadaan itu dikategorikan sebagai kesilapan yang tidak disengajakan dan mempunyai perincian hukum tersendiri,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya.

Jelasnya, menurut kitab al-Fiqh al-Manhaji, apabila ternyata solat seseorang dilakukan sebelum masuk waktu, solat tersebut dianggap batal dan wajib diulangi.

Tambahnya, Syeikh Muhammad al-Zuhaili dalam al-Mu’tamad pula menjelaskan bahawa sekiranya seseorang menyedari solatnya dilakukan sebelum masuk waktu selepas waktu berkenaan berakhir, dia wajib mengqadanya dan tidak berdosa kerana terdapat keuzuran.

Dalam pada itu katanya, terdapat perbahasan ulama mengenai individu yang tersilap menentukan waktu Subuh untuk tempoh yang panjang.

“Syeikh Syahuddin al-Ramli menukilkan fatwa Imam al-Barizi berhubung seorang lelaki yang tersilap menentukan waktu fajar sehingga menunaikan solat Subuh ketika fajar kazib.

“Imam al-Barizi berpandangan bahawa individu berkenaan hanya perlu menggantikan solat sekali, kerana solat yang dilakukan pada hari berikutnya telah menjadi ganti kepada solat pada hari sebelumnya,” katanya.

Justeru katanya, berdasarkan penjelasan tersebut, sekiranya seseorang yang bermusafir ke negara lain tersilap menetapkan lokasi aplikasi dan menunaikan solat lebih awal daripada waktunya selama beberapa hari, dia tidak perlu terus panik dengan menganggap kesemua solat itu perlu diqada satu persatu.

Sebaliknya jelasnya, jika telah dipastikan bahawa kesilapan berlaku kerana tersalah menentukan waktu, dia perlu menggantikan solat sekali sahaja bagi solat pada hari terakhir, kerana solat pada hari-hari berikutnya telah menggantikan solat pada hari sebelumnya.

Sementara itu umat Islam turut diingatkan supaya mengambil perhatian terhadap ketepatan waktu solat, khususnya ketika bermusafir ke negara atau zon waktu yang berbeza.

“Jadi, kalau travel ke negara lain, kita mungkin sibuk ingat pasport, tiket, hotel, roaming dan Google Maps. Jangan lupa satu lagi, tukar location aplikasi waktu solat,” menurutnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button