LUAR NEGARA

Lima termasuk remaja perempuan didakwa bunuh bayi baru lahir di Sheffield

LONDON – Lima individu termasuk seorang remaja perempuan berusia 15 tahun didakwa berhubung kematian seorang bayi perempuan yang ditemukan di sebuah kediaman di Holywell Heights, Sheffield, pada 30 Ogos lalu.

Perkhidmatan Pendakwaan Diraja (CPS) berkata, dua lelaki, dua wanita dan seorang remaja perempuan didakwa selepas bedah siasat forensik mendapati punca kematian bayi berkenaan adalah akibat luka tikaman.

“Dukacita dimaklumkan bahawa anak itu ditemukan meninggal dunia di sebuah kediaman di Holywell Heights pada 30 Ogos lalu, selepas anggota polis bertindak susulan laporan mengenai kebimbangan terhadap keselamatan seorang bayi,” menurut kenyataan itu.

CPS memaklumkan Andrea Skopova, 20; Peter Horvath, 19; Peter Horvath, 38; dan Nina Horvathova, 37, didakwa atas kesalahan membunuh, menyebabkan atau membiarkan kematian seorang kanak-kanak, serta menghalang proses keadilan dengan mengambil langkah menyembunyikan pembunuhan bayi itu.

Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang tidak boleh dinamakan atas faktor perundangan kerana usianya pula didakwa atas kesalahan menghalang proses keadilan, menurut CPS.

Timbalan Ketua Pendakwa Raya CPS Yorkshire dan Humberside, Lauren Costello mengingatkan bahawa prosiding terhadap kesemua tertuduh masih berjalan dan mereka mempunyai hak untuk mendapat perbicaraan yang adil.

CPS juga menggesa orang ramai supaya tidak membuat laporan, ulasan atau berkongsi maklumat mengenai kes berkenaan secara dalam talian yang boleh menjejaskan prosiding mahkamah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button