BERITA SEMASA

DKU iktiraf Undang baharu Sungei Ujong, Rembau; isytihar jawatan Undang Jelebu kosong

SEREMBAN – Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan mengiktiraf pelantikan Yang Teramat Mulia Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungei Ujong dan Yang Teramat Mulia Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid sebagai Undang Luak Rembau selepas kedua-duanya dilantik mengikut adat luak masing-masing.

Dalam perutusan rasmi selepas persidangan DKU yang berlangsung semalam, persidangan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir itu turut dihadiri Undang Luak Sungei Ujong, Undang Luak Rembau dan Tunku Besar Seri Menanti, sekali gus memenuhi syarat korum seperti diperuntukkan di bawah Fasal 20 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

DKU turut menerima makluman bahawa penyandang pusaka Yang Amat Mulia Datuk Shahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Utama Badarudin Abdul Khalid, telah dilucutkan menurut adat Luak Sungei Ujong berkuat kuasa 30 Julai 2026.

“Sehubungan itu, jawatan berkenaan disahkan kosong, manakala proses pelantikan penyandang baharu sedang berjalan mengikut adat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, DKU memutuskan menerima pendirian waris, anak buah dan Ibu Soko Waris Berundang daripada tiga Perut Kemin Teriang, Kemin Beringin dan Kemin Bemban untuk memecat Datuk Maarof Mat Rashad sebagai Penyandang Pusaka Undang Luak Jelebu Ke-16 berkuat kuasa 31 Mei 2023 atas kesalahan adat.

Keputusan itu menjadikan jawatan Undang Luak Jelebu kosong secara automatik, manakala semua tindakan yang dibuat oleh Maarof selepas tarikh tersebut dianggap tidak sah.

Katanya, Darjah Tertinggi Negeri Sembilan (DTNS) yang digunakan ketika menyandang jawatan itu turut gugur.

Selain itu, DKU mengisytiharkan dokumen bertarikh 19 April 2026 sebagai tidak berperlembagaan kerana melanggar Perkara X Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, sekali gus tidak mempunyai sebarang kesan di sisi undang-undang.

DKU turut memutuskan bahawa individu yang didakwa memegang jawatan Undang Luak Sungei Ujong, Undang Luak Rembau dan Undang Luak Jelebu, iaitu Mubarak Thahak, Abdul Rahim Haji Yasin dan Maarof Mat Rashad, sama ada telah terhenti atau tidak pernah dilantik secara sah mengikut adat, sekali gus tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan fungsi di bawah Perkara X Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Persidangan itu turut mengarahkan Kerajaan Negeri mengambil tindakan sewajarnya bagi melaksanakan semua keputusan dan pertimbangan yang diputuskan oleh DKU.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button