Pemandu e-hailing didakwa cabul wanita, kertas siasatan dirujuk kepada TPR
SEPANG – Polis mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan seorang wanita dicabul oleh pemandu e-hailing ketika dalam perjalanan ke Terminal KLIA 2, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima pada 16 Julai lalu dan insiden berkenaan dipercayai berlaku di hadapan sebuah hotel di daerah ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an telah menempah perkhidmatan e-hailing untuk ke Terminal KLIA 2.
“Ketika dalam perjalanan, suspek dipercayai meminta mangsa duduk di tempat duduk hadapan sebelum bertindak menyentuh paha kanan mangsa sebanyak dua kali tanpa kerelaannya.
“Mangsa kemudian keluar daripada kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an telah dikenal pasti dan keterangannya telah dirakam bagi membantu siasatan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan.
“Polis telah melengkapkan siasatan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan selanjutnya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Norhizam menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang atau balai polis berhampiran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















