APAD siasat dakwaan diskriminasi bahasa dalam agihan tempahan e-hailing
KUALA LUMPUR – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memandang serius dakwaan tular yang mengaitkan sistem tempahan sebuah aplikasi e-hailing dengan amalan diskriminasi berdasarkan bahasa.
Dalam satu kenyataan rasmi, APAD menegaskan bahawa sistem agihan tempahan oleh penyedia perkhidmatan e-hailing wajib dilaksanakan secara adil dan saksama kepada semua pemandu, seperti yang digariskan dalam Perkara 9, Keperluan Tahap Perkhidmatan (KTP) bagi Lesen Perniagaan Pengantaraan (LPP) di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
“Pelanggaran terhadap syarat ini adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan denda minimum RM1,000 sehingga maksimum RM200,000, atau hukuman penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali,” jelas kenyataan tersebut.

APAD turut menegaskan komitmen untuk memastikan sektor e-hailing kekal inklusif, telus dan bebas daripada sebarang bentuk diskriminasi terhadap mana-mana pihak dalam ekosistem perkhidmatan itu.
Terdahulu, sebuah video yang tular di platform TikTok memaparkan seorang lelaki mendakwa bahawa sistem agihan tempahan lebih memihak kepada pemandu yang boleh bertutur dalam bahasa Mandarin, sekaligus mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan pengguna.
Susulan itu, Gabungan E-hailing Malaysia (GEM) menggesa semua pihak untuk menolak sebarang bentuk diskriminasi serta menasihatkan agar isu-isu berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R) tidak dipolitikkan kerana ia boleh menindas pemandu dan menggugat keharmonian masyarakat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








