Terminal 1 Seremban terima penarafan Gred A, perkukuh ekosistem pengangkutan awam Negeri Sembilan
SEREMBAN – Terminal 1 Seremban kini diiktiraf sebagai hab pengangkutan awam darat bertaraf tertinggi selepas menerima penarafan Gred A daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Menurut APAD, pengiktirafan itu diberikan berdasarkan pematuhan terhadap piawaian ditetapkan merangkumi aspek keselamatan, kecekapan operasi, penyelenggaraan fasiliti, kebersihan, aksesibiliti, penyediaan maklumat perjalanan, integrasi pelbagai mod pengangkutan serta pengalaman keseluruhan pengguna.
“Penarafan Gred A diberikan berdasarkan pematuhan terhadap piawaian yang ditetapkan APAD, meliputi aspek keselamatan, kecekapan operasi, penyelenggaraan fasiliti, kebersihan, aksesibiliti, penyediaan maklumat perjalanan, integrasi pelbagai mod pengangkutan serta pengalaman keseluruhan pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut APAD lagi, Terminal 1 Seremban yang dilesenkan APAD sejak 1 Ogos 2023 merupakan hab pengangkutan awam darat utama di Negeri Sembilan dengan menghubungkan perkhidmatan bas ekspres, bas henti-henti, BAS.MY, teksi serta mempunyai integrasi terus dengan Stesen KTM Seremban.
Kemudahan berkenaan menyediakan laluan pergerakan penumpang ke pelbagai destinasi di seluruh Semenanjung Malaysia, sekali gus memperkukuh jaringan mobiliti rakyat.
Sebagai Terminal Gred A, Terminal 1 Seremban dilengkapi pelbagai kemudahan moden dan mesra pengguna termasuk ruang menunggu selesa, kaunter serta sistem pembelian tiket tanpa tunai, paparan maklumat perjalanan, kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU), sistem kamera litar tertutup (CCTV), ruang parkir, surau, tandas, premis makanan dan minuman serta ruang komersial.
“Terminal berkenaan kini mengendalikan antara 150 hingga 180 perjalanan bas setiap hari membabitkan 84 operator bas ke pelbagai destinasi di seluruh Semenanjung Malaysia.
“Terminal ini menyediakan 46 platform, terdiri daripada 20 platform pelepasan, enam platform ketibaan dan 20 platform bagi perkhidmatan BAS.MY serta bas henti-henti, dengan jumlah penggunaan lebih kurang satu juta penumpang setahun,” katanya.
Selain memperkukuh infrastruktur terminal, kerajaan turut memperkasakan rangkaian pengangkutan awam menerusi Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST) di bawah jenama BAS.MY.
Di Negeri Sembilan, perkhidmatan BAS.MY yang berpusat di Terminal 1 Seremban menjadi pelengkap kepada rangkaian pengangkutan awam dengan menghubungkan kawasan perumahan, institusi pendidikan, hospital, kawasan perniagaan serta kemudahan awam sekitar Seremban dan daerah berhampiran.
“Bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan bas kepada rakyat, kerajaan turut menyediakan Dana Bantuan Sementara Bas Henti-Henti (Interim Stage Bus Support Fund – ISBSF) berjumlah RM63.175 juta setahun bagi menyokong operasi perkhidmatan bas, khususnya di laluan yang kurang menguntungkan tetapi amat diperlukan masyarakat,” menurut APAD.
Sebagai badan kawal selia pengangkutan awam darat di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715], APAD berkata pihaknya akan terus memastikan semua terminal berlesen di Semenanjung Malaysia beroperasi mengikut standard ditetapkan.
Menurut agensi itu, langkah berkenaan penting bagi menjamin keselamatan, keselesaan dan kebolehpercayaan perkhidmatan kepada rakyat.
“Pengiktirafan Terminal 1 Seremban sebagai Terminal Gred A membuktikan komitmen bersama Kementerian Pengangkutan (MOT), APAD, Majlis Bandaraya Seremban dan pihak pengendali terminal dalam menyediakan kemudahan pengangkutan awam berkualiti, selamat serta bersepadu.
“Ia sekali gus memperkukuh keterhubungan mobiliti rakyat dan merangsang pembangunan ekonomi Negeri Sembilan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















