MOT giat perbincangan dengan MAHB, CAAM demi kelangsungan industri penerbangan
PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) terus mempergiat usaha memastikan kelangsungan industri penerbangan negara menerusi siri perbincangan berterusan bersama Malaysia Airports Holdings Bhd dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, satu sesi libat urus bersama pemain industri penerbangan akan diadakan minggu hadapan bagi membincangkan langkah susulan yang diambil kementerian dalam menghadapi krisis tenaga global ketika ini.
“Seminggu dua lepas, saya telah berjumpa dengan CAAM dan berbincang dengan MAHB. Kita akan terus mengadakan sesi libat urus dengan industri penerbangan untuk memberi respons terhadap langkah yang diambil bagi membantu kelangsungan sektor ini,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan bagi bulan April di sini hari ini.
Anthony berkata, krisis tenaga global turut mendorong kerajaan menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam khususnya di Semenanjung Malaysia.
Menurutnya, pelaburan besar kerajaan dalam pembangunan infrastruktur rel dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat serta membantu mengurangkan kebergantungan kepada bahan api.
“Kita harap usaha ini dapat menunjukkan komitmen kerajaan dalam menyediakan kemudahan pengangkutan yang lebih efisien dan mampan,” katanya di sini hari ini.
Beliau turut menjangkakan akan berlaku perubahan tingkah laku dalam kalangan rakyat, dengan lebih ramai beralih kepada penggunaan pengangkutan awam dan kenderaan elektrik (EV) susulan peningkatan kos tenaga.
Sehubungan itu, MOT bertanggungjawab memastikan sistem pengangkutan awam negara beroperasi dengan tahap kecekapan, kebolehpercayaan dan keselesaan yang tinggi.
Dalam perkembangan lain, Anthony turut berkata, isu keselamatan jalan raya kekal sebagai keutamaan kerajaan dengan tindakan lebih tegas dan respons pantas akan dilaksanakan.
“Langkah termasuk penguatkuasaan terhadap pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah serta kajian pindaan undang-undang akan terus dipertingkatkan bagi mengurangkan kemalangan jalan raya.
“Setiap kemalangan melibatkan kehilangan nyawa dan memberi kesan besar kepada masyarakat, justeru tindakan segera perlu diambil bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








