BERITA SEMASA

Anthony Loke pertahan peluang UEC ke IPTA, tegas lepasan tahfiz turut terima manfaat

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mempertahankan keputusan kerajaan membuka laluan kepada lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) mengikuti program tertentu di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).

Beliau berkata, peluang sama turut diberikan kepada calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz, bukan kepada calon UEC semata-mata.

Menurutnya, tindakan sesetengah pihak yang mempertikaikan langkah itu disifatkan sebagai tidak wajar kerana ia bertujuan memperluaskan akses pendidikan kepada lebih ramai pelajar.

“Saya rasa pelik mengapa ada pihak yang membantah komitmen kerajaan ini. Mereka membantah orang untuk mendapat akses pendidikan.

“Walhal kita mahu menambah akses pendidikan supaya dapat mendidik anak-anak ini untuk mendapat pendidikan yang lebih baik.

“Sekiranya membangkang, ini menunjukkan mereka menafikan hak anak-anak kita belajar ke peringkat lebih tinggi,” katanya memetik laporan BH Online.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Stesen Segambut Utara, di sini hari ini.

Tambahnya, keputusan berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Januari lalu.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari dilaporkan mendakwa tindakan membuka ruang kepada pelajar UEC melanjutkan pengajian di IPTA sebagai satu taktik ‘silap mata’ bagi memperluaskan akses pendidikan kepada pelajar aliran berkenaan.

BACA JUGA:

Laluan khas ke IPTA bukan korban sistem pendidikan negara – Dr Zambry

Beliau mendakwa penggabungan kategori lepasan tahfiz dan UEC dalam pengumuman kerajaan seolah-olah cubaan menghalalkan kemasukan pelajar UEC ke universiti awam secara halus.

Ahmad Fadhli turut mempersoalkan keperluan kerajaan mengeluarkan kenyataan khusus mengenai lepasan tahfiz kerana golongan itu sebelum ini tidak berdepan masalah menyambung pengajian ke IPTA atau institusi pengajian tinggi swasta.

Semalam, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta SMPC/UEC berpeluang mengikuti beberapa program tertentu di IPTA.

Bagi lepasan tahfiz, program dikenal pasti termasuk Diploma dan Sarjana Muda Dakwah, Diploma dan Sarjana Muda Al-Quran dan As-Sunnah, Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz serta Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah).

Sementara itu, bagi lepasan SMPC/UEC, antara program ditawarkan ialah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina, Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina dan Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan.

Calon daripada aliran terbabit yang memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penuh pula boleh memohon mana-mana program pengajian menerusi sistem UPUOnline berdasarkan merit dan pakej mata pelajaran ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Mesyuarat Jemaah Menteri juga bersetuju bahawa calon daripada aliran berkenaan yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah dikendalikan Lembaga Peperiksaan Malaysia serta diperakui KPM boleh dipertimbangkan mengikuti program tertentu di IPTA.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button