BERITA SEMASA

Malaysia sasar sifar kemalangan maut penerbangan komersial menjelang 2028

KUALA LUMPUR – Malaysia menyasarkan sifar kemalangan maut membabitkan penerbangan komersial menjelang Disember 2028 menerusi Pelan Keselamatan Penerbangan Malaysia 2026-2028, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, pelan tiga tahun itu menetapkan keutamaan keselamatan penerbangan dengan sasaran yang jelas dan boleh diukur, termasuk mencapai skor Effective Implementation (EI) Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) sekurang-kurangnya 90 peratus.

“Paling penting, pelan ini menterjemahkan aspirasi kepada tindakan yang boleh diukur.

“Objektifnya termasuk mengekalkan sifar kemalangan maut dalam penerbangan komersial, mencapai skor EI ICAO sekurang-kurangnya 90 peratus menjelang Disember 2028 serta mengurangkan insiden serius dan kejadian berkaitan keselamatan landasan,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan pada Seminar Keselamatan Penerbangan Malaysia 2026 (MASS’26) di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Loke, pelan itu turut memperkukuh sistem pelaporan keselamatan serta diselaraskan dengan Pelan Keselamatan Penerbangan Global ICAO dan Pelan Keselamatan Penerbangan Serantau Asia Pasifik.

Katanya, pendekatan kerajaan memberi tumpuan kepada tiga perkara, iaitu memastikan badan kawal selia kekal berkeupayaan, prestasi keselamatan diukur secara telus dan peraturan sentiasa seiring perkembangan teknologi.

“Peningkatan dalam laporan keselamatan tidak seharusnya dilihat sebagai petunjuk bahawa sistem penerbangan semakin tidak selamat.

“Budaya pelaporan yang sihat memberikan gambaran lebih jelas mengenai bahaya, menggalakkan tindakan awal dan membolehkan pengajaran dikongsi sebelum sesuatu kejadian bertukar menjadi kemalangan,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan automasi dan teknologi autonomi turut membawa cabaran baharu, termasuk kebergantungan teknologi, ancaman keselamatan siber dan risiko faktor manusia.

Sehubungan itu, katanya, inovasi dalam sektor penerbangan perlu disokong tadbir urus, jaminan keselamatan dan akauntabiliti yang kukuh.

MASS’26 dianjurkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dengan sokongan teknikal Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) dan Boeing, sempena Persidangan Ketua-Ketua Pengarah Penerbangan Awam Rantau Asia dan Pasifik ke-61.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button