BERITA SEMASADALAM NEGERI

Thailand beri maklum balas positif cadangan sambungan ECRL dari Rantau Panjang – Loke

KUALA LUMPUR – Thailand memberi maklum balas positif terhadap cadangan sambungan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Rantau Panjang, Kelantan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perbincangan awal mengenai cadangan tersebut telah dimulakan susulan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kelantan pada 13 Mei tahun lalu.

Menurut beliau, bagi memastikan cadangan itu memberi manfaat jangka panjang kepada negara serta ekonomi di kawasan sempadan, sambungan landasan perlu merentasi sempadan dan disambungkan ke Thailand, bukannya berakhir di Rantau Panjang semata-mata.

Sehubungan itu, Loke berkata, terdapat dua perkara utama perlu diperincikan sebelum kajian kebolehlaksanaan dapat dimulakan, iaitu yang pertama ialah kesediaan Thailand dalam menyokong cadangan ini termasuk dari segi infrastruktur di pihak mereka.

“Pada 2 Mei 2025, Timbalan Perdana Menteri Thailand bersetuju untuk bertemu dengan Menteri Pengangkutan Malaysia di Bangkok dan MOT telah menyampaikan cadangan Malaysia untuk menerokai penyambungan rel ini dengan Thailand,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang bertanya mengenai perkembangan kajian sambungan projek ECRL ke Rantau Panjang dan adakah MOT bersedia mempertimbangkan laluan tersebut sebagai sebahagian daripada pelan perluasan strategik ECRL.

Tambah Anthony Loke, pihak Thailand sedang mendapatkan hala tuju serta pendirian rasmi daripada Kementerian Pengangkutan Thailand mengenai perkara tersebut.

Dalam masa yang sama, Loke berkata, MOT sedang giat menyediakan Memorandum Persefahaman (MoU) Cross Border Transport antara Malaysia dan Thailand bagi memastikan kelangsungan pergerakan rel rentas sempadan direalisasikan.

Jelas beliau, perkara kedua yang perlu diberi perhatian ialah menentukan sama ada sambungan ini wajar menggunakan infrastruktur ECRL atau Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

“Lawatan tapak telah diadakan pada 12 Jun 2025 melibatkan Stesen KTMB Rantau Panjang, Jambatan Sungai Golok dan Stesen ECRL Kota Bharu bersama wakil dari Ministry of Transport Thailand, Department of Rail Transport serta State Railway of Thailand (SRT).

“Lawatan ini penting bagi melihat keadaan semasa landasan, jambatan, stesen dan infrastruktur berkaitan selain membantu Kerajaan menilai kos pembangunan yang diperlukan,” jelas beliau.

Kementerian, katanya, akan terus mengambil tindakan susulan bagi memperincikan jajaran serta model kerjasama terbaik bersama pihak Thailand dalam menentukan hala tuju cadangan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button