BERITA SEMASA

Hanya pegawai diberi kuasa boleh dapatkan capaian kepada data berkomputer

KUALA LUMPUR – Hanya pegawai yang diberi kuasa oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mempunyai kuasa mendapatkan capaian kepada data berkomputer seperti diperuntukkan Seksyen 249 dan Seksyen 254 Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, pemberian kuasa itu termaktub dalam Seksyen 247 Akta 588 menerusi waran geledah dari mahkamah, atau dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat tidak rendah daripada Inspektor sebagaimana jelas diperuntukkan di bawah Seksyen 248 Akta 588

“Siasatan yang dijalankan adalah berpandukan kepada tatacara dan prosedur yang ditetapkan serta mematuhi peruntukan undang-undang yang termaktub di bawah Akta 588.

“Kesemua proses-proses siasatan ini dijalankan secara telus dan menyeluruh merangkumi semua aspek bagi memastikan prinsip undang-undang dapat ditegakkan dengan seadilnya,” kata Nie Ching di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjelaskan, siasatan akan dimulakan berdasarkan Laporan Awal Pertama (First Information Report (FIR)) yang diterima dari orang awam, dan proses pengumpulan maklumat (information gathering) akan dijalankan bagi mengenal pasti individu yang disyaki telah melakukan kesalahan.

Nie Ching berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai keperluan pindaan undang-undang supaya hanya anggota polis berpangkat inspektor dan ke atas dibenarkan menyemak telefon bimbit orang awam sebagai langkah untuk menjaga hak privasi dan mengurangkan penyalahgunaan kuasa polis.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button