
MCMC, Microsoft perkasa pelajar B40 USM melalui AI
GEORGE TOWN – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Microsoft Malaysia memperkasa seramai 150 pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi program AI TEACH yang memfokuskan penguasaan kemahiran kecerdasan buatan (AI).

Program itu menyasarkan pelajar dalam inisiatif Siswa Sulung, iaitu golongan generasi pertama daripada keluarga B40 yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat universiti di bawah kendalian Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Menurut kenyataan bersama MCMC dan Microsoft Malaysia, pemilihan peserta dibuat secara teliti berdasarkan latar belakang sosioekonomi, pendapatan isi rumah dalam kategori B40 serta kemampuan pemilikan aset oleh ibu bapa.
“Program itu memberi pendedahan kepada pelajar tentang asas AI, penggunaan AI generatif, pemerkasaan diri melalui AI, serta aspek etika dalam penggunaan teknologi tersebut.
“Ia bertujuan melahirkan graduan celik digital yang berdaya saing dalam landskap ekonomi masa depan,” menurut kenyataan hari ini.
Majlis pelancaran program berkenaan disempurnakan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr Habibah A. Wahab di Dewan Pembangunan Siswa, Kompleks Cahaya Siswa, USM.
Turut hadir Ketua Pegawai Sektor Pembangunan Industri MCMC, Muhammad Razali Anuar; Pengarah MCMC Pulau Pinang, Mohd Fitri Hashim; dan Timbalan Pendaftar Kanan Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Shukeri A. Rahaman.
Wakil daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Georgetown, Nurul Atikah Samelan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Biji-biji Initiative, Rashvin Pal Singh turut hadir memeriahkan majlis.
Menerusi program itu, MCMC dan Microsoft Malaysia menegaskan komitmen mereka untuk membina ekosistem pembelajaran digital yang inklusif serta memastikan rakyat Malaysia tidak tercicir dalam arus pembangunan teknologi masa kini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








