BERITA SEMASA

APAD batal 100 permit lori Lian Gang Logistics

KUALA LUMPUR – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membatalkan Permit Kenderaan bagi 100 buah lori milik syarikat Lian Gang Logistics Sdn Bhd susulan pelanggaran syarat pelesenan dan kegagalan mematuhi aspek keselamatan.

APAD berkata, jumlah permit yang dibatalkan itu mewakili kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan kenderaan yang dikendalikan syarikat berkenaan.

Tindakan tegas itu dibuat selepas didapati syarikat tersebut terus beroperasi walaupun Lesen Pengendali mereka (No. 202001042810: Kelas Lesen Pembawa A) digantung selama 30 hari bermula 27 Ogos hingga 25 September 2025.

“Penggantungan lesen itu dibuat berikutan kegagalan memenuhi keperluan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan JPJ (JISA) pada 24 Jun 2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

APAD turut berkata, tindakan ini wajar dijadikan peringatan bahawa agensi memandang serius sebarang pelanggaran aspek keselamatan dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk terhadap syarikat besar.

“Penguatkuasaan akan terus dilaksanakan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta mengekalkan integriti industri pengangkutan negara,” katanya lagi.

APAD, yang berada di bawah Kementerian Pengangkutan, bertanggungjawab merancang program dan strategi berkaitan pengangkutan awam darat serta mengawal selia aspek pelesenan untuk meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan penumpang dan barangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button