BERITA SEMASA

Nahas trak FRU: APAD batal lesen pengendali syarikat pengangkutan

PUTRAJAYA – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membatalkan lesen pengendali Tashveen Trading setelah salah sebuah lorinya terlibat dalam nahas dengan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang sehingga mengorbankan sembilan nyawa, 13 Mei lalu.

APAD dalam satu kenyataan hari ini berkata, pembatalan lesen tersebut berkuatkuasa serta-merta mulai semalam.

Keputusan itu diambil setelah siasatan mendapati, syarikat berkenaan gagal memenuhi syarat lesen yang diperuntukkan di bawah Seksyen 57(1)(b)(iii) dan Seksyen 58(1)(b).

“Tashveen Trading turut gagal memberikan akses kepada rekod sepertimana di bawah Seksyen 210(1)(a) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715], serta melanggar Perkara 11, Perkara 22 dan Perkara 30 Keperluan Tahap Perkhidmatan (KTP) Kenderaan Barangan.

“Syarikat pengendali itu juga gagal mematuhi keperluan Kod Amalan Keselamatan Industri (ICOP), gagal memastikan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) berfungsi dan telah tamat tempoh,” kata APAD dalam kenyataan tersebut.

APAD turut berkata, lori berkenaan turut didapati membawa muatan yang menyalahi jenis barang yang ditetapkan dalam permit kenderaan tersebut dan tidak mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

“Dengan terbatalnya Lesen Pengendali berkenaan, syarikat tersebut tidak dibenarkan untuk mengendali atau mengadakan sebarang perkhidmatan menggunakan mana-mana kenderaan yang dilesenkan di bawah Lesen Pengendali Berkenaan.

“APAD ingin menegaskan pendirian bahawa tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana kesalahan pemanduan kenderaan pengangkutan awam darat secara berbahaya yang menyebabkan kemalangan dan boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya,” katanya lagi.

Sehubungan itu, APAD menasihatkan semua pengendali berlesen wajib mematuhi syarat-syarat lesen yang ditetapkan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini, yang seterusnya boleh menyebabkan lesen dibatalkan.

Katanya, APAD sentiasa komited untuk mewujudkan sistem pengangkutan awam darat yang holistik, cekap, efisien, selamat dan berdaya saing, demi manfaat rakyat, selaras dengan Nilai Teras Malaysia MADANI, iaitu KESEJAHTERAAN dan IHSAN.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button