BERITA SEMASA

APAD pertahan tindakan, pengusaha bas diberi lima bulan pindah ke terminal berlesen

KUALA LUMPUR – Tindakan penguatkuasaan terhadap sebuah syarikat pengendali bas ekspres yang menghentikan operasi di ibu negara dibuat selepas syarikat berkenaan gagal mematuhi arahan berpindah ke terminal berlesen.

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berkata, pengusaha terbabit sebelum ini telah diberikan masa yang mencukupi untuk memindahkan operasi menaik dan menurunkan penumpang dari lokasi tidak berlesen ke terminal serta hab pengangkutan yang diluluskan.

Menurut agensi itu, isu berkenaan bermula sejak tahun lalu apabila syarikat terbabit diarahkan menghentikan operasi di lokasi tidak berlesen dan mematuhi peraturan sedia ada yang mewajibkan penggunaan terminal berlesen.

“Moratorium penguatkuasaan sementara turut diberikan selepas lokasi operasi mereka di Hotel Corus Kuala Lumpur tidak lagi dapat digunakan berikutan pembangunan semula kawasan berkenaan.

“Namun selepas hampir lima bulan, syarikat itu masih tidak berpindah ke mana-mana terminal atau hab pengangkutan yang berlesen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

APAD berkata, arahan penguatkuasaan dikeluarkan pada Mei lalu selepas syarikat terbabit gagal mengambil tindakan pembetulan yang diperlukan.

Walaupun tidak menamakan syarikat berkenaan, kenyataan itu dibuat susulan keputusan pengendali bas premium Aeroline untuk menghentikan penggunaan Kuala Lumpur sebagai lokasi menaik dan menurunkan penumpang.

APAD berkata, Tun Razak Exchange (TRX) tidak pernah diluluskan sebagai terminal atau hab pengangkutan berlesen dan pihak pengurusannya juga tidak pernah mengemukakan permohonan bagi tujuan tersebut.

“Sesebuah lokasi tidak secara automatik menjadi terminal yang diluluskan hanya kerana telah digunakan dalam tempoh yang lama,” katanya lagi.

Menurut APAD, penguatkuasaan yang berkuat kuasa mulai 19 Mei lalu terpakai kepada semua pengendali bas ekspres dan bukan disasarkan kepada mana-mana syarikat tertentu.

“Langkah itu bertujuan meningkatkan keselamatan penumpang, mengurangkan kesesakan lalu lintas serta memastikan semua pengusaha mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Aktiviti menaik dan menurunkan penumpang di lokasi tidak berlesen boleh menimbulkan risiko keselamatan kepada penumpang dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya lagi.

Antara terminal dan hab pengangkutan yang diluluskan ialah Lalaport, IOI City Mall Putrajaya, 1 Utama, Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan Terminal Bersepadu Gombak.

APAD turut berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana pengusaha yang memerlukan panduan berhubung pematuhan peraturan operasi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button