BERITA SEMASA

APAD siasat insiden tren LRT tergelincir dekat Stesen Chan Sow Lin

KUALA LUMPUR – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memandang serius insiden tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang tergelincir dari landasan berhampiran Stesen Chan Sow Lin pada Khamis.

APAD memaklumkan pemeriksaan di lokasi kejadian telah dilaksanakan sejurus selepas insiden berlaku bagi menilai keadaan awal serta memastikan tindakan segera diambil oleh pihak pengendali.

“Pemeriksaan tapak pertama diketuai sendiri Ketua Pengarah APAD bersama wakil Bahagian Penguatkuasaan Rel dan Bahagian Perancangan Rel.

“Pemeriksaan tapak kedua pula diadakan pada jam 3 petang melibatkan wakil Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi meneliti perkembangan awal siasatan, tahap keselamatan operasi serta langkah susulan yang perlu dilaksanakan oleh pihak pengendali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

APAD turut berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan serta-merta selaras dengan arahan Menteri Pengangkutan bagi menyiasat kejadian itu secara menyeluruh.

“Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk meneliti aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP), penyelenggaraan aset, sistem keselamatan dan pengoperasian tren.

“Keselamatan pengguna, kebolehpercayaan sistem rel serta integriti perkhidmatan pengangkutan awam tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan,” katanya lagi.

Tambah APAD, siasatan akan dijalankan secara bebas, telus dan profesional sebelum sebarang tindakan sewajarnya diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Sehubungan itu, pihak pengendali diarahkan mengemukakan laporan lengkap berhubung insiden berkenaan secepat mungkin untuk penelitian lanjut.

“Laporan itu akan diteliti secara terperinci sebelum proses temu siasat dan penelitian lanjut dilaksanakan bagi mengenal pasti faktor yang menyumbang kepada kejadian serta menentukan sama ada wujud unsur ketidakpatuhan, kecuaian atau pelanggaran syarat lesen pengendalian,” katanya lagi.

Menurut APAD, sekiranya didapati berlaku pelanggaran syarat lesen oleh pihak pengendali, tindakan penguatkuasaan boleh diambil mengikut Seksyen 101 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715].

Selain itu, siasatan turut merangkumi aspek kecuaian di bawah Seksyen 202 dan Seksyen 128 akta sama termasuk terhadap mana-mana individu yang didapati gagal melaksanakan tanggungjawab sehingga menjejaskan keselamatan operasi rel.

APAD berkata, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan MOT dan agensi berkaitan bagi memastikan tahap keselamatan serta keyakinan orang awam terhadap sistem pengangkutan awam rel sentiasa terpelihara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button