Polis teruskan usaha kesan suspek bakar stor surau asrama
KUALA LUMPUR – Polis sedang meneruskan usaha mengesan individu yang disyaki melakukan khianat dengan membakar stor di surau asrama sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Cheras di sini minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, siasatan mendapati kebakaran berlaku di bahagian stor menyimpan permaidani dan sejadah serta bilik imam.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana kejadian berlaku ketika semua pelajar yang tinggal di asrama sedang bercuti.
“Siasatan pasukan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di tempat kejadian menemukan bahan penggalak (accelerant) di dalam dan luar kawasan surau,” katanya.
Tambahnya, sampel bahan kebakaran kemudian dihantar ke makmal forensik bomba untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api, dan pihaknya sedang melakukan siasatan bagi mengenal pasti individu yang terlibat.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 malam 28 Jun lalu, pengawal keselamatan yang bertugas menyedari surau di bahagian bawah asrama terbakar lalu menghubungi pihak penyelamat untuk bantuan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








