Maxim Malaysia tegas patuh peraturan, serah rayuan kepada APAD
KUALA LUMPUR — Penyedia perkhidmatan e-hailing, Maxim Malaysia hari ini menegaskan komitmen penuh pematuhan peraturan susulan dakwaan berkaitan operasi tanpa kelulusan serta pelanggaran syarat pelesenan oleh pemandunya.
Pengarahnya, Mohd Hazwan Musley berkata, rayuan rasmi dikemukakan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi mempertahankan kelangsungan operasi syarikat itu di Malaysia.
“Kami akur dengan segala pindaan dan ketetapan semasa. Hanya pemandu yang memiliki lesen PSV dan permit EVP yang sah dibenarkan menerima tempahan melalui aplikasi Maxim.
“Syarikat turut menyediakan sokongan kepada pemandu dalam urusan mendapatkan dokumen yang diperlukan sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap keselamatan dan pematuhan undang-undang.
“Aplikasi kami juga dilengkapi ciri keselamatan tambahan seperti sembang dalaman dan penjejakan masa nyata, membolehkan pengguna berkongsi lokasi perjalanan dengan ahli keluarga,” katanya, memetik laporan Sinar Harian.
Jelas beliau, usaha itu sejajar dengan hasrat syarikat mewujudkan persekitaran perkhidmatan e-hailing yang lebih selamat, telus dan bertanggungjawab.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif keselamatan jalan raya, Maxim Malaysia turut bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam melaksanakan program advokasi dan latihan kesedaran di pusat latihan pemandu yang diiktiraf.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengesahkan Maxim dan InDrive, aplikasi e-hailing dari Rusia, menghentikan operasi mulai 24 Julai ini atas dakwaan melanggar peraturan tempatan.
Namun begitu, kedua-dua syarikat dibenarkan mengemukakan rayuan, dan keputusan muktamad hanya akan ditentukan oleh kementerian.
Sementara itu, Ketua Pematuhan Undang-undang Maxim Malaysia, Chowdhury Mushfique Ahmed memaklumkan lebih 50 peratus daripada pemandu berdaftar menjadikan platform itu sebagai sumber pendapatan harian utama.
“Secara purata, Maxim menyumbang sehingga 80 peratus daripada pendapatan bulanan pemandu, sekali gus menunjukkan peranan penting syarikat dalam menyokong ekonomi tempatan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan Maxim beroperasi secara sah, membayar cukai dan menyumbang kepada pembangunan ekosistem digital negara.
“Sejak memulakan operasi di Malaysia pada 2019, kami konsisten menawarkan perkhidmatan pengangkutan yang berpatutan kepada semua lapisan masyarakat, terutamanya pelajar dan golongan pertengahan,” katanya.
Maxim Malaysia kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dalam menangani sebarang isu berbangkit dan memastikan pematuhan menyeluruh terhadap segala peraturan yang ditetapkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








