Tindakan tegas jika langgar syarat MAXIM, InDrive dipantau APAD
KUALA LUMPUR – Dua syarikat pengendali e-hailing, MAXIM dan InDrive, dibenarkan meneruskan operasi masing-masing namun diletakkan di bawah pemantauan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) selama tiga bulan bermula esok.
Langkah itu diambil susulan tindakan APAD mengeluarkan Notis Pembatalan Lesen Perniagaan Pengantaraan (LPP) terhadap Aist Malaysia Sdn. Bhd. (MAXIM) dan ID Applications Sdn. Bhd. (InDrive) pada 24 April lalu, berikutan ketidakpatuhan terhadap keperluan Permit Kenderaan E-Hailing (EVP).
Bagaimanapun, kedua-dua syarikat telah mengemukakan rayuan kepada Kementerian Pengangkutan dan diberi peluang untuk mengambil tindakan pembetulan sebelum tarikh kuat kuasa pembatalan lesen.
APAD berkata, MAXIM dan InDrive telah menambah baik sistem pendaftaran pemandu bagi memastikan hanya individu yang memiliki EVP yang sah dibenarkan memulakan perkhidmatan.
“Selain itu, akses data secara “view only” turut diberikan kepada APAD bagi tujuan semakan silang dengan pangkalan data agensi terbabit.
“Pada 11 Julai lalu, APAD telah menjalankan semakan rawak terhadap pemandu kedua-dua syarikat dan hasil semakan mendapati semua pemandu memiliki EVP yang sah.
“Ini membuktikan komitmen dan penambahbaikan yang telah diambil,” menurut kenyataan hari ini.
Namun begitu, APAD memaklumkan, pemantauan terhadap MAXIM dan InDrive tetap akan diteruskan bagi memastikan tahap pematuhan kekal konsisten sepanjang tempoh tiga bulan tersebut.
“Wakil syarikat juga diwajibkan hadir ke Ibu Pejabat APAD setiap bulan bagi sesi pemantauan yang melibatkan semakan secara langsung serta perbincangan isu-isu semasa berkaitan operasi,” katanya lagi.
APAD turut mengingatkan tindakan tegas boleh diambil di bawah Seksyen 12A(5), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) sekiranya mana-mana syarikat didapati melanggar syarat perkhidmatan yang ditetapkan sepanjang tempoh pemantauan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








