BERITA SEMASA

Tren tergelincir: Anthony Loke arah hukuman paling maksima diambil terhadap Prasarana

PUTRAJAYA – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk mengambil tindakan hukuman yang paling maksima terhadap Prasarana Malaysia Bhd berhubung insiden tren LRT tergelincir landasan yang berlaku berdekatan Stesen Chan Sow Lin pada pagi ini.

Beliau berkata, sehubungan itu pihak APAD telah membuka kertas siasatan terhadap insiden itu serta merta.

“Saya ingin menegaskan bahawa Lembaga Pengarah dan Pasukan Pengurusan Prasarana tidak boleh meneruskan sikap “business-as-usual”.

“Kejadian sebegini perlu dipandang serius dan tiada sesiapa dalam pengurusan tertinggi Prasarana akan
terkecuali daripada akauntabiliti dalam insiden ini. Piawaian keselamatan dan kebolehpercayaan perkhidmatan awam bukanlah sesuatu yang boleh dikompromikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan serius termasuk pemecatan perlu diambil oleh pihak Lembaga Pengarah Prasarana terhadap mana-mana pihak yang cuai dalam tanggungjawab mereka untuk mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap kebolehpercayaan perkhidmatan sistem rel di bawah kendalian Prasarana.

Dalam pada itu katanya, beliau juga telah mengarahkan supaya dapatan
siasatan ini dikemukakan kepada Jemaah Menteri secepat mungkin dan laporan tersebut dihebahkan secara umum.

“Kementerian Pengangkutan (MOT)
melihat insiden tren LRT tergelincir landasan yang berlaku berdekatan Stesen Chan Sow Lin sebagai satu
insiden yang sangat serius kerana kejadian sebegini bukan sekadar gangguan perkhidmatan biasa.

“Tren tergelincir landasan membawa risiko keselamatan yang tinggi kepada penumpang dan petugas. Walaupun kesemua 25 penumpang dalam insiden ini berjaya dipindahkan dengan
selamat dan tiada kecederaan dilaporkan, pihak MOT tetap
mengambil pendirian yang tegas dalam insiden ini dan tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan orang ramai.

“Sehubungan itu, MOT segera menubuhkan satu pasukan
petugas khas untuk menyiasat punca kejadian ini secara menyeluruh,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button