Anthony Loke nafi kewujudan ‘team B’ dalam DAP
KLANG: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menafikan dakwaan wujudnya ‘Team B’ dalam kepimpinan DAP, seperti yang didakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Loke, kenyataan berkenaan sama sekali tidak berasas dan beliau tidak pernah memaklumkan perkara sedemikian kepada Ahmad Zahid atau mana-mana pihak lain.
“Logik ke saya kata begitu, bodohlah saya berada dalam politik ini untuk beritahu ada ‘Team B’ dalam parti ini, kemudian saya maklumkan kepada parti lain.
“Saya nafikan sekerasnya dan tidak pernah cakap dengan Zahid berkenaan isu ini.
“Ini kerana dalam DAP tiada team A, B mahupun C, kita hanya ada satu pasukan iaitu Team DAP,” katanya dalam ucapan sempena Konvensyen Tahunan DAP Selangor 2026, di sini, hari ini.
Anthony Loke menegaskan, DAP tidak mempunyai kelompok atau pasukan tertentu dalam parti, sebaliknya bergerak sebagai satu pasukan yang padu.
“Dalam DAP tidak ada Team A, Team B atau Team C. Kita hanya ada satu pasukan, iaitu Team DAP,” katanya.
Semalam, Ahmad Zahid ketika ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 mendakwa kenyataan-kenyataan bercanggah yang dikeluarkan oleh pemimpin DAP berpunca daripada ‘Team B’ dalam parti itu dan mendakwa perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh Anthony Loke.
[hdsoft_ai_summary]
Mengulas lanjut, Loke menjelaskan bahawa beliau sebelum ini hanya menyuarakan ketidaksetujuan terhadap pendekatan yang digunakan oleh Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Yeo Bee Yin, khususnya berkaitan reaksi terhadap keputusan mengekalkan hukuman penjara ke atas Datuk Seri Najib Razak.
“Saya ada menyatakan dalam podcast bahawa pendekatan bersorak itu tidak perlu. Dalam DAP, perbezaan pandangan adalah perkara biasa, tetapi ia diuruskan secara dalaman melalui mesyuarat,” katanya.
Beliau menambah, di peringkat luar, DAP tampil sebagai sebuah parti yang bersatu, berdisiplin dan tidak mudah digugat dengan cubaan memecah-belahkan kepimpinan.
“Apa yang berlaku ini hanyalah taktik lama ‘divide and rule’. Mungkin berkesan kepada parti lain, tetapi tidak kepada DAP. Walau apa pun yang diperkatakan, DAP sebagai parti dalam kerajaan kekal bersatu padu dengan pasukan kepimpinan yang kukuh,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















