Lesen syarikat pengendali kenderaan komersial boleh dibatalkan di bawah Kerangka Penguatkuasaan Baharu JPJ, APAD
PUTRAJAYA – Syarikat pengendali kenderaan komersial yang kerap melanggar undang-undang jalan raya bakal berdepan tindakan lebih tegas, termasuk penggantungan atau pembatalan lesen pengendali menerusi kerangka pentadbiran baharu yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Langkah baharu itu diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang menegaskan kerajaan tidak lagi akan berkompromi terhadap pengendali kenderaan berat berisiko tinggi, susulan beberapa insiden membabitkan kemalangan lori dan kenderaan komersial kebelakangan ini.
“Kita akan ambil pendekatan baharu. Syarikat yang berulang kali melanggar undang-undang tidak hanya akan dikenakan saman, tetapi lesen pengendali mereka juga boleh digantung atau dibatalkan oleh APAD,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Setia Khas dan Ikrar Bebas Rasuah JPJ, di sini hari ini.
Anthony Loke berkata, sebelum ini terdapat syarikat yang menganggap saman sebagai sebahagian daripada kos operasi, malah sanggup membayar kompaun kerana hasil muatan berlebihan jauh melebihi nilai saman dikenakan.
“Contohnya, mereka rasa berbaloi membayar saman RM300 kerana membawa lebih muatan boleh beri pulangan berlipat ganda. Sikap ini tidak boleh diteruskan,” katanya.
Melalui sistem baharu itu, JPJ akan mengenakan saman atau kompaun mengikut tahap kesalahan, manakala bagi kesalahan lebih serius, tindakan pendakwaan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat akan diambil.
Bagi kesalahan pertama, syarikat boleh didenda sehingga RM500,000, manakala kesalahan kedua akan menyebabkan permit kenderaan dibatalkan, dan kesalahan ketiga boleh membawa kepada pembatalan keseluruhan lesen pengendali syarikat.
Anthony Loke menegaskan, pendekatan itu bertujuan memberi amaran keras kepada pengendali kenderaan berat supaya tidak lagi memandang ringan terhadap undang-undang dan keselamatan jalan raya.
“Amaran ini jelas — kita tidak akan lagi benarkan syarikat menjadikan saman sebagai jalan mudah. Sekiranya terus melanggar undang-undang, mereka akan kehilangan lesen untuk beroperasi,” katanya.
Beliau turut menambah, pelaksanaan kerangka penguatkuasaan baharu itu dijangka memperkukuh tahap keselamatan di jalan raya serta memastikan hanya syarikat berdisiplin dan bertanggungjawab dibenarkan beroperasi di bawah seliaan JPJ dan APAD.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








