Kenderaan JPJ potong garisan tidak berlaku di Tanah Merah, tiada kaitan kemalangan ngeri libatkan anak editor Awani
TANAH MERAH – Pihak polis menegaskan bahawa siasatan berhubung kemalangan maut di KM 85.5, Jalan Kota Bharu–Machang–Jeli masih berjalan dan belum mencapai sebarang kesimpulan muktamad.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Mohd Haki Hasbullah berkata, kenyataan awal yang dikeluarkan pada 21 Mac lalu adalah berdasarkan siasatan awal di lokasi kejadian, termasuk keterangan saksi serta penemuan fizikal.
Menurut beliau, dakwaan segelintir pihak yang mengatakan polis membuat kesimpulan tanpa asas adalah tidak benar sama sekali.
“Penjelasan awal yang diberikan hanyalah berdasarkan maklumat awal dan masih tertakluk kepada siasatan lanjut yang sedang dijalankan secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu katanya, polis turut memandang serius penularan tangkap layar di media sosial yang dikaitkan dengan kejadian berkenaan.
Katanya, hasil semakan mendapati kandungan tersebut tidak berlaku di Tanah Merah dan tidak berkaitan dengan tarikh sebenar kejadian, sekali gus bersifat mengelirukan.
Sehubungan itu katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan serta mengelirukan masyarakat.
“Polis memberi amaran bahawa tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana individu yang menyebarkan berita palsu mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, termasuk Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Kanun Keseksaan.
“Tambah kenyataan itu, siasatan kes berkenaan dijalankan secara telus dan profesional melibatkan pelbagai aspek termasuk analisis forensik, keterangan saksi serta penelitian teknikal di lokasi kejadian.
“Orang ramai turut diminta memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan dengan adil,” katanya.
Dalam masa sama katanya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan hadir ke Bahagian Trafik IPD Tanah Merah atau menghubungi balai polis berhampiran.
Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan siasatan dapat diselesaikan secara menyeluruh dan berintegriti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








