Remaja 15 tahun didakwa sebabkan kematian ibu OKU
KUALA KANGSAR – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian ibunya di Kampung Cheh Hilir, Kati, minggu lalu.
Bagaimanapun, remaja berkenaan tidak membuat sebarang pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian ibunya, Nor Ainon Omar, 49, di sebuah rumah di Kampung Cheh Kati, Kuala Kangsar kira-kira pukul 2.10 petang pada 23 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan, lapor Sinar Online.
Dalam prosiding itu, Azlin Zeti turut bertanyakan sama ada tertuduh memahami pertuduhan yang dibacakan, namun remaja berkenaan yang ditemani bapanya dilihat tidak memberikan jawapan yang jelas.
Mahkamah kemudian dimaklumkan bahawa tertuduh mempunyai rekod masalah kesihatan mental dan sedang menjalani rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta.
Sehubungan itu, mahkamah tidak menetapkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Mirza Zulaikha Mohd Fadzly manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
BACA JUGA:
Wanita OKU ditemukan maut dengan kesan tikaman pada betis
Mahkamah menetapkan 22 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen berkaitan, termasuk laporan perubatan tertuduh.
Sebelum ini, media melaporkan Nor Ainon, seorang wanita orang kurang upaya (OKU) lemban, ditemukan maut dengan kesan kecederaan dipercayai akibat tikaman di kediamannya di Kampung Cheh Hilir, Kati.
Mangsa ditemukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumah yang didiaminya bersama suami dan tiga anak.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 2.38 petang selepas ahli keluarga menemui mangsa dalam keadaan tertiarap, tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek.
Polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Susulan insiden berkenaan, suami serta anak mangsa turut direman bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








