JENAYAH & MAHKAMAH

Remaja 15 tahun maut digilis lori selepas motosikal bergesel

SABAK BERNAM – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan sebuah lori sebelum mangsa terjatuh dan digilis dalam kemalangan di Kilometer 53, Jalan Teluk Intan-Klang berhampiran Sungai Haji Dorani, dekat Sungai Besar, malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 11.15 malam itu, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad berkata, siasatan awal mendapati mangsa sedang menunggang motosikal di lorong kanan dari arah Klang menghala ke Teluk Intan.

Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah lori yang dipandu di lorong kiri dipercayai menukar laluan ke lorong kanan sebelum bergesel dengan motosikal mangsa.

“Perlanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal terjatuh di atas jalan sebelum digilis lori. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pemandu lori terbabit dipercayai meninggalkan lokasi kejadian dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ), Sabak Bernam untuk dibedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Siti Atikah Md Ali di talian 013-3328212 atau hadir ke balai polis berhampiran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button