Pemandu maut, tiga cedera dalam kemalangan ambulans di Kluang
KLUANG – Seorang pemandu ambulans maut manakala tiga lagi termasuk dua pembantu perubatan dan seorang pesakit wanita cedera selepas ambulans Hospital Segamat yang dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di Kilometer 59.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 1.10 petang itu, pemandu berusia 43 tahun berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, M. Nasir A. Shah berkata, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) bersama enam anggota dikerah ke tempat kejadian dan tiba pada pukul 1.27 petang.
“Sebaik tiba, kami mendapati kemalangan membabitkan empat mangsa iaitu pemandu ambulans, dua pembantu perubatan wanita dan seorang pesakit wanita.
“Hasil pemeriksaan mendapati pemandu serta seorang penumpang hadapan tercampak keluar dari ambulans manakala dua lagi mangsa di bahagian belakang tidak tersepit,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pasukan bomba mengalihkan mangsa cedera ke kawasan selamat sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan lanjut.
Mayat pemandu ambulans tersebut kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan seterusnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang mengesahkan kejadian dan memaklumkan bahawa kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








