Malaysia-Jepun terus perkukuh kerjasama pertahanan
TOKYO – Malaysia dan Jepun dijangka terus memperkukuh kerjasama pertahanan menerusi beberapa pertemuan dua hala Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan rakan sejawatnya, Shinjiro Koizumi.
Mohamed Khaled yang tiba di negara itu hari ini juga dijangka menyempurnakan pemeteraian dokumen bantuan geran di bawah program Official Security Assistance (OSA) Kerajaan Jepun sepanjang lawatan kerja pertamanya selama empat hari.
“Saya juga dijadual mengadakan mesyuarat bilateral bersama Menteri Luar Jepun, TYT Toshimitsu Motegi, serta menghadiri majlis menandatangani dokumen bantuan geran di bawah program Official Security Assistance (OSA) Kerajaan Jepun.
“Lawatan ini turut melibatkan pertemuan bersama Acquisition, Technology & Logistics Agency (ATLA) serta lawatan ke syarikat pertahanan Jepun, Toshiba,” katanya dalam satu kenyataan.
Lawatan itu berlandaskan Perkongsian Strategik Komprehensif antara Malaysia dan Jepun bagi memperkukuh hubungan pertahanan serta meneroka ruang kerjasama dalam bidang berkepentingan bersama.
Katanya, kerjasama berkenaan diharap dapat memberikan manfaat kepada pertahanan negara, selain meningkatkan persefahaman kedua-dua negara dalam menghadapi cabaran keselamatan serantau.
Ketibaan Mohamed Khaled disambut Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani dan Atase Pertahanan Malaysia di Tokyo, Kepten Mohamad Fazri Ibrahim TLDM.
Turut menyertai lawatan itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Datuk Mohd Yani Daud dan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








