MINDEF beri amaran, bakal ambil tindakan undang-undang terhadap penyebaran maklumat sulit ATM
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) memberi amaran tegas bahawa pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu atau pihak yang terlibat menyebarkan maklumat sulit serta naratif spekulasi berkaitan urusan perjawatan strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di media sosial.
MINDEF dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya memandang serius tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang secara terbuka menularkan senarai nama pegawai kanan ATM dan membuat spekulasi berkaitan kepimpinan pasukan yang disifatkan mencabar kredibiliti sistem pengurusan pertahanan negara.
“Tindakan mendahului proses rasmi ini bukan sahaja membuka ruang kepada persepsi negatif, malah boleh menjejaskan moral pegawai serta mengganggu rantaian pemerintahan dalam ATM,” menurut kenyataan MINDEF hari ini.
Menurut MINDEF, sebarang ketetapan berkaitan perjawatan dan kenaikan pangkat pegawai ATM adalah tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi ATM atas nasihat Majlis Angkatan Tentera (MAT).
Sehubungan itu, kementerian menegaskan bahawa sebarang hebahan pramatang atau spekulasi terbuka mengenai perkara tersebut merupakan satu bentuk ketidakhormatan terhadap institusi Diraja serta hierarki kepimpinan ATM.
MINDEF turut memberi peringatan bahawa penyebaran maklumat sulit atau dalaman secara terbuka boleh mengundang ancaman terhadap keselamatan maklumat dan kedaulatan negara.
“Pihak yang terlibat dinasihatkan supaya menghentikan serta-merta sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan, mencemarkan imej ATM dan mengelirukan masyarakat,” tegas kenyataan itu.
Dalam hal ini, kementerian menegaskan bahawa tindakan undang-undang boleh diambil di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Angkatan Tentera 1972 serta Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, sekiranya didapati berlaku penyebaran maklumat dalaman kerajaan.
Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak memuat naik, mengulas atau menyebarkan semula kandungan berunsur spekulasi, sebaliknya merujuk kepada pengumuman rasmi melalui saluran MINDEF dan ATM.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








