BERITA SEMASA

Gencatan senjata: Keadaan masih tidak menentu, beberapa insiden pelanggaran perjanjian berlaku di selatan Lubnan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan menggesa semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan gencatan senjata selama 10 hari antara kerajaan Lubnan dan Israel menghormati sepenuhnya perjanjian yang dipersetujui.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata,
ini kerana situasi keselamatan di lapangan masih berada dalam keadaan tidak menentu berikutan laporan beberapa insiden pelanggaran perjanjian di selatan Lubnan.

“Semua pihak digesa supaya menghormati sepenuhnya perjanjian yang telah dipersetujui bagi mengelakkan ketegangan kembali memuncak,” katanya dalam satu kenyataan hari.

Dalam kenyataan sama beliau menegaskan, keutamaan ketika ini adalah memastikan keselamatan anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 yang sedang menjalankan misi di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

“Setakat ini, semua anggota MALBATT dilaporkan selamat dan terus melaksanakan tugas selaras dengan mandat yang diberikan,” katanya

Pada masa sama katanya, pemantauan rapi akan terus dilakukan melalui Markas Angkatan Bersama dengan kerjasama UNIFIL dan pihak berkaitan bagi memastikan perkembangan semasa sentiasa dikemas kini.

Sebarang pelarasan operasi akan dilaksanakan berdasarkan arahan UNIFIL serta penilaian situasi keselamatan di lapangan.

Pada masa sama, MALBATT kekal berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi bagi menghadapi sebarang kemungkinan serta memastikan keselamatan anggota sentiasa terjamin.

“Kementerian Pertahanan turut berharap agar gencatan senjata tersebut dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak dan menjadi asas kepada penyelesaian jangka panjang melalui rundingan serta saluran diplomasi demi keamanan serantau,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button