BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

MINDEF mulakan siri jelajah Program Veteran MADANI 2026

SEREMBAN – Dalam usaha mengenal pasti keperluan sebenar golongan veteran, Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah memulakan siri jelajah Program Veteran MADANI (PVM) 2026, di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dengan mengadakan kunjungan kebajikan ke atas veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sekitar daerah Paroi.

Program Veteran MADANI
Adly (tengah) bergambar bersama sebahagian veteran ATM yang mengikuti program tersebut.

“Program PVM merupakan inisiatif MINDEF yang dilaksanakan menerusi Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM).

“Ia bertujuan mendekati golongan veteran secara bersemuka, mengenal pasti keperluan sebenar mereka serta mendapatkan maklum balas berhubung pelbagai inisiatif kebajikan yang telah dilaksanakan,” kata MINDEF menerusi hantaran di Facebook.

Dalam program PVM Paroi, Adly turut menyempurnakan Majlis Penyerahan Rumah Baharu di bawah Inisiatif Perumahan Veteran ATM kepada seorang balu veteran di Kampung Sentosa.

“Inisiatif berkenaan bertujuan membantu veteran dan ahli keluarga yang kurang berkemampuan memiliki kediaman yang selesa dan selamat.

“Selain itu, ia juga mencerminkan komitmen berterusan MINDEF dalam membela kebajikan veteran ATM khususnya golongan memerlukan,” kata kenyataan itu lagi.

Program Veteran MADANI
Turut diadakan penyampaian Inisiatif Perumahan Veteran ATM.

Sepanjang lawatan tersebut, beliau telah menyantuni 15 veteran ATM merangkumi veteran asnaf, balu serta anak veteran kategori Orang Kurang Upaya (OKU).

Pelbagai bentuk bantuan disampaikan termasuk Sumbangan Rahmah, bantuan perubatan serta peralatan pesakit.

Dalam kunjungan sama, Adly turut meluangkan masa bertemu seorang veteran yang pernah berkhidmat bersama British Army pada era pasca Perang Dunia Kedua, sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan generasi perintis pertahanan negara.

Siri PVM Paroi dijadualkan berakhir pada 16 Januari di daerah Asahan, Melaka dengan lawatan kebajikan ke atas baki 13 veteran ATM, termasuk dua usahawan veteran yang akan menerima bantuan peralatan perniagaan.

Pada program sama, beliau dijadualkan menyampaikan Pingat Jasa Malaysia kepada 10 veteran ATM.

Program PVM merupakan antara inisiatif utama yang menyokong Transformasi Kesejahteraan Veteran ATM.

Ia selari dengan Amanat Tahun Baharu Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, khususnya Fokus Ketujuh: Terus Memperkasa Kesejahteraan Veteran ATM sebagai penghargaan berterusan atas jasa dan pengorbanan mereka kepada negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button