BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

MINDEF akan laksana program digitalisasi nasional, optimum AI banteras rasuah

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan melaksanakan program digitalisasi berskala nasional dan mengoptimumkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) sebagai teras utama usaha membanteras rasuah, serta memperkukuh tadbir urus kementerian dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kejayaan negara seperti Qatar, Singapura dan Hong Kong membanteras rasuah wajar dijadikan teladan kerana pelaksanaan digitalisasi dan teknologi maklumat yang canggih terbukti menyukarkan intervensi manusia serta manipulasi sistem untuk kepentingan pihak tertentu.

Menurut beliau, digitalisasi akan menjadikan semua proses lebih telus, pantas dan komprehensif, sekali gus menutup ruang kepada ketirisan dan kecurangan.

“Kita perlukan kerjasama semua pihak untuk melaksanakannya. Digitalisasi akan menyukarkan sistem kita dimanipulasi dan menjadikan segala proses lebih telus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan di Wisma Perwira di ibu negara hari ini.

Baca juga : Pelan antirasuah MINDEF dirombak besar-besaran tahun ini – Khaled Nordin

Beliau berkata, penggunaan AI pula akan dioptimumkan bagi membantu proses perolehan dan pentadbiran kementerian, termasuk mengenal pasti siapa yang memperoleh sesuatu, tahap pencapaian serta kecekapan pelaksanaan tugas.

Katanya, melalui AI, kementerian juga dapat mengesan bahagian yang cenderung berlakunya ketirisan dan kecurangan, selain mengetahui kos sebenar serta membuat perbandingan munasabah dengan negara setara dari segi saiz dan keperluan pertahanan.

Mohamed Khaled berkata, AI akan menjadi norma dalam semua aspek pengurusan ATM, termasuk dalam pemilihan bakat untuk menyertai pasukan keselamatan negara.

“Melalui analitik media sosial, AI akan membantu menilai pemikiran, sikap, keperibadian dan kecenderungan calon,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan penubuhan Lembaga Pengukuhan Keutuhan dan Amanah bagi menyalurkan segala keraguan dan ketidakpuasan hati secara terarah serta sistematik.

Katanya, kedudukan istimewa kementerian dalam menjaga kepentingan strategik pertahanan negara menuntut isu dalaman ditangani melalui saluran yang dipercayai dan berwibawa, bukan dibahaskan secara terbuka oleh pihak berkepentingan di luar.

“Internal control yang cekap mampu mengesan kecurangan tanpa perlu didedahkan oleh pemain luar.
Justeru, lembaga ini perlu dibentuk bagi mengelakkan sebarang intervensi pihak berkepentingan,” katanya.

Beliau berkata, lembaga itu akan diketuai oleh individu yang bebas serta berpengalaman dalam amalan tatakelola terbaik.

Mohamed Khaled turut mengakui wujud jurang besar antara tatakelola kerajaan dan sektor swasta, yang disifatkan lebih maju dari segi pendigitalan, ketelusan perolehan, amalan perniagaan lestari serta pematuhan hak pekerja.

Katanya, pelaksanaan kerangka Environment, Social and Governance (ESG) di sektor swasta bukan sahaja dipatuhi, malah diterajui dengan kepimpinan berkesan sehingga meningkatkan daya saing dan kepercayaan terhadap organisasi.

“Sudah tiba masanya kementerian melaksanakan kerangka ESG secara lebih kemas dan menyeluruh. Kita mesti berani melakukan reset dan tidak lagi berlindung di sebalik alasan kepentingan keselamatan negara untuk mengelak daripada menjadi lebih terbuka, telus dan lestari,” katanya.

Beliau menyeru agar amalan perkhidmatan kementerian beranjak daripada pemikiran lapuk serta tidak lagi terbelenggu dengan birokrasi dan tatakelola yang tidak berkesan.

Sehubungan itu, satu pasukan petugas khas akan ditubuhkan segera bagi memandu kementerian membangunkan kerangka ESG yang sesuai dengan keperluan pertahanan negara, selaras usaha meningkatkan kewibawaan MINDEF ke tahap lebih unggul dan dihormati.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button