Timbalan Panglima Tentera Udara, Norazlan Aris ambil alih kepimpinan TUDM
ALOR SETAR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengumumkan Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris sebagai Panglima Tentera Udara yang bakal menggantikan Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan ekoran persaraannya.
Perkara itu diumumkan Mohd Asghar Khan dalam sidang media di Kolej Tentera Udara (KTU) di sini, hari ini.
Beliau berkata, penyerahan tugas akan diadakan dalam satu upacara rasmi melibatkan kenaikan pangkat dan pertukaran tampuk pemerintahan TUDM yang akan berkuat kuasa pada Khamis ini.
Mohd Ashgar yang memegang jawatan tertinggi ketumbukan itu sejak 7 Mac 2022 menyifatkan pelantikan Norazlan sebagai kesinambungan kepada pelan transformasi TUDM yang sedang digerakkan, termasuk Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM (CAP55).
Pada majlis itu, beliau menyeru seluruh warga TUDM agar memberikan sokongan padu dan kerjasama penuh kepada penggantinya dalam meneruskan kesinambungan kecemerlangan TUDM.
“Saya telah maklumkan kepada semua warga TUDM agar memberikan kerjasama penuh kepada Panglima Tentera Udara yang baharu,” katanya
Terdahulu, seramai 26 pelatih penerbangan berjaya menerima sayap masing-masing dalam upacara penuh istiadat yang berlangsung di KTU, menandakan kemasukan tenaga baharu ke dalam barisan hadapan pertahanan udara negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








