Hospital Medan Malaysia di Myanmar terima lebih 500 pesakit luar
KUALA LUMPUR – Hospital Medan Malaysia (HMM) di bawah kelolaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang beroperasi di daerah Sagaing, Myanmar, kini menerima lebih 500 pesakit luar susulan bencana gempa bumi kuat melanda negara itu pada 28 Mac lalu.
Menurut Panglima ATM, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar berkata, tempoh pengoperasian hospital itu adalah selama sebulan, namun ia boleh dilanjutkan sekiranya terdapat keperluan.
“Berlaku kelewatan anggota berlepas ke Myanmar disebabkan tidak mendapat kebenaran diplomatik namun akhirnya kita memperolehinya dan anggota telah bertugas dengan selamat.
“Kita menghantar anggota untuk HMM ini sebagai langkah kerajaan membantu rakan dalam ASEAN lebih-lebih lagi Malaysia ialah Pengerusi ASEAN tahun ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepS sambutan Hari Raya Aidilfitri ATM 2025 di Wisma Pewira, Kuala Lumpur hari ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Timbalannya, Adly Zahari.
Pada 18 April lalu, Mohamed Khaled memaklumkan Malaysia telah menghantar pasukan perubatan ATM ke Myanmar bagi melaksanakan Operasi Starlight III sebagai usaha bantuan kemanusiaan pascabencana.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh berkata, operasi HMM yang kini memasuki hari ketiga berjalan lancar dengan sokongan padu daripada pihak Myanmar.
Jelas beliau, HMM telah melaksanakan 13 pembedahan termasuk pembedahan ortopedik ke atas mangsa gempa bumi yang mengalami kecederaan patah tulang akibat bencana itu.
“Selain pakar-pakar yang kita hantar, pihak Myanmar juga membantu dengan menyediakan pakar perubatan, pakar sakit puan dan sebagainya termasuk sembilan penterjemah,” katanya sambil menambah moral pegawai ATM di Myanmar berada dalam keadaan baik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








