MINDEF tubuh tiga jawatankuasa susulan lesen eksport sistem peluru berpandu NSM dibatalkan Norway
LABIS – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menubuhkan tiga jawatankuasa khas susulan tindakan Norway membatalkan lesen eksport sistem peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM) ke Malaysia.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jawatankuasa pertama ditubuhkan bagi mengkaji tindakan yang perlu diambil khususnya melibatkan keputusan susulan kegagalan syarikat terbabit memenuhi kontrak pembekalan aset berkenaan.
Menurut beliau, jawatankuasa kedua pula berperanan mencari alternatif berkaitan perolehan tersebut, manakala jawatankuasa ketiga ditubuhkan bagi meneliti penyelesaian menerusi saluran diplomatik.
“Kita memang telah menubuhkan tiga jawatankuasa. Satu untuk mengkaji apakah tindakan wajar yang perlu dilakukan terutama dalam soal membuat keputusan susulan kegagalan syarikat itu membekalkan mengikut kontrak.
“Kedua, kita ada jawatankuasa untuk mencari alternatif dan ketiga bagi mencari penyelesaian melalui saluran diplomasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Program Jiwa Murni MADANI Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) 2026 di FELDA Maokil 1, di sini hari ini.
Terdahulu, Mohamed Khaled diminta mengulas pembatalan perolehan peluru berpandu antikapal NSM daripada syarikat Norway, Kongsberg Defence & Aerospace ASA baru-baru ini.
Menurut beliau, pembatalan perolehan itu dimaklumkan kepadanya ketika berlangsungnya Defence Services Asia (DSA) and National Security Asia (NATSEC) 2026 baru-baru ini.
Susulan tindakan pembatalan lesen eksport oleh Kementerian Pertahanan Norway itu, Malaysia telah mengemukakan bantahan dan menyifatkan keputusan tersebut sebagai unilateral serta tidak boleh diterima.
Sebelum ini, Mohamed Khaled turut memaklumkan beliau akan bertemu rakan sejawatnya dari Norway di Singapura pada hujung bulan ini bagi mendapatkan penjelasan berhubung keputusan mengejut kerajaan negara itu menyekat lesen eksport peluru berpandu antikapal NSM kepada Malaysia.
Katanya, pertemuan itu juga akan digunakan untuk menyatakan kekesalan dan rasa terkejut kerajaan Malaysia terhadap tindakan Norway membatalkan penghantaran aset berkenaan hanya beberapa hari sebelum tarikh penghantaran yang dijadualkan pada Mac lalu.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan keputusan berkenaan akan memberi kesan serius terhadap kesiapsiagaan operasi pertahanan negara serta program pemodenan Kapal Tempur Pesisir (LCS), selain membawa implikasi lebih meluas terhadap keseimbangan serantau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















