BERITA SEMASA

Malek Razak dilantik Panglima Angkatan Tentera

KUALA LUMPUR – Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang baharu berkuat kuasa esok.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pelantikan beliau telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Beliau berkata, beliau dinaikkan ke pangkat Jeneral dan dilantik menjawat jawatan PAT berkuat kuasa mulai 1 Februari ini.

“Pelantikan ini dibuat selaras dengan syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri ke-633 (Khas) yang bersidang pada 29 Januari lalu, dan seterusnya telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong semalam.

“Beliau memiliki kelulusan Diploma Strategik dan Keselamatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Master of Arts in Defence Studies dari King’s College London serta Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) dari UKM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, perkhidmatan beliau bermula pada tahun 1985 sebagai Pegawai Kadet Luar Negara di Royal Military College, Sandhurst, United Kingdom dan telah ditauliahkan pada 11 Disember 1987 dengan pangkat Leftenan Muda.

Katanya, sepanjang hampir 40 tahun perkhidmatan, beliau telah mempamerkan kebolehan, keupayaan, kecemerlangan serta kepimpinan yang tinggi.

“Beliau memulakan kerjaya sebagai Ketua Platun di Batalion ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja dan kemudiannya berkhidmat di pelbagai pasukan serta memegang pelbagai jawatan di peringkat pemerintah dan staf.

“Jawatan terakhir beliau sebelum pelantikan ini ialah Panglima Medan Barat Tentera Darat.

“Berdasarkan pengalaman luas serta kredibiliti yang dimiliki, Kementerian Pertahanan yakin pelantikan ini akan memperkukuh kepimpinan dan keupayaan ATM dalam mendepani cabaran pertahanan negara, di samping memulihkan dan memperkukuh wibawa ATM melalui kepimpinan yang berteraskan integriti dan profesionalisme serta mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button