LTAT umum 5.35 peratus dividen tahun 2025, tertinggi dalam lapan tahun
KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hari ini mengumumkan kadar dividen sebanyak 5.35 peratus dengan jumlah agihan keseluruhan berjumlah RM524.74 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, sekali gus mencatatkan jumlah agihan tertinggi dalam tempoh lapan tahun.
Menurut LTAT, pengumuman itu menunjukkan komitmen berterusan LTAT dalam memastikan kesejahteraan kewangan jangka panjang warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus terpelihara.
“Bagi tahun kewangan berkenaan, LTAT mencatatkan prestasi kewangan kukuh dengan Jumlah Pendapatan Pelaburan sebanyak RM749.49 juta bagi FY2025.
“Keuntungan Boleh Agih pula direkodkan sebanyak RM541.56 juta, manakala Rizab meningkat sebanyak 29.1 peratus tahun ke tahun kepada RM1.31 bilion berbanding RM1.01 bilion pada FY2024,” katanya dalam kenyataan.
Hadir sama pada majlis pengumuman dividen tersebut ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali Pengerusi LTAT serta Jeneral (B) Tan Sri Datuk Seri Azizan Ariffin TUDM.
Baca juga : Yayasan LTAT peruntuk RM166,400 Simpanan Pendidikan MADANI 2026 untuk 3,328 anak ATM
Sementara itu, Pengarah Urusan LTAT, Mohammad Ashraf Md. Radzi berkata, prestasi memberangsangkan ini mencerminkan usaha berterusan LTAT dalam memperkukuh kedudukan kewangannya serta meningkatkan daya tahan institusi dalam mengurus simpanan pencarum secara berhemat dan bertanggungjawab.
“Pengisytiharan dividen ini menandakan tahun keempat berturut-turut LTAT mencatatkan pulangan dividen sebanyak 5 peratus atau lebih, menyerlahkan pendekatan pelaburan berdisiplin dan usaha berterusan dana dalam mengoptimumkan portfolio pelaburannya,” katanya.
Mohammad Ashraf menegaskan pencapaian ini hasil daripada perubahan strategik yang dirancang secara menyeluruh dalam pengurusan pelaburan jangka panjang.
“Kami berbesar hati dengan prestasi yang terus meningkat dari tahun ke tahun dan yakin terhadap kemampanan LTAT pada masa hadapan. Keputusan ini membuktikan LTAT berada pada kedudukan stabil serta bersedia melangkah ke fasa seterusnya dalam pertumbuhan institusi,” katanya.
Sebagai rekod, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, LTAT melaksanakan pelbagai inisiatif strategik bagi memperkukuh tadbir urus, meningkatkan disiplin pelaburan dan akauntabiliti dalam pengurusan simpanan pencarum.
Mohammad Ashraf berkata, LTAT akan mempercepatkan transformasi aset strategik melalui pelbagai inisiatif korporat untuk memperkukuh kemampanan jangka panjang.
“Halatuju ini selari dengan keutamaan negara, termasuk Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), di mana LTAT berupaya menyokong pembangunan ekosistem pertahanan Malaysia,” katanya.
Beliau menambah, LTAT akan terus menyokong pendekatan whole-of-government dan whole-of-society yang diterajui Kementerian Pertahanan, serta menyumbang kepada aspirasi pembangunan nasional, termasuk Kerangka Ekonomi MADANI dan inisiatif kolaboratif seperti Program GEARUP.
Dividen FY2025 akan dikreditkan ke akaun pencarum pada Jumaat ini dan para pencarum boleh menyemak penyata masing-masing melalui aplikasi MyWIRA atau laman web rasmi LTAT di www.ltat.gov.my.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















