BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

Yayasan LTAT peruntuk RM166,400 Simpanan Pendidikan MADANI 2026 untuk 3,328 anak ATM

KUALA LUMPUR – Seramai 3,328 murid Tahun Satu dalam kalangan anak anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima manfaat awal simpanan pendidikan apabila Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) memperuntukkan sebanyak RM166,400 bagi disumbangkan ke Simpanan Pendidikan MADANI 2026.

Peruntukan tersebut disalurkan kepada tiga perkhidmatan utama ATM iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM) sebanyak RM100,900, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM – RM30,600) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM – RM34,900).

Penyerahan replika cek itu disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sempena Majlis Berbuka Puasa Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan, di sini semalam.

Yayasan LTAT dalam satu kenyataan berkata, inisiatif berkenaan melibatkan sumbangan RM50 secara one-off yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun Simpan SSPN Prime setiap murid sebagai permulaan tabungan pendidikan.

“Pengkreditan penuh dijangka selesai selewat-lewatnya pada 18 Mac 2026 bagi memastikan semua penerima yang layak menerima manfaat dalam tempoh ditetapkan.

“Daripada jumlah keseluruhan penerima, seramai 2,018 adalah anak anggota TDM, 612 anak TLDM dan 698 anak TUDM,” kata kenyataan tersebut.

Program Simpanan Pendidikan MADANI merupakan kesinambungan usaha pendidikan Yayasan LTAT sejak 2024 bagi menggalakkan budaya menabung awal dalam kalangan keluarga warga ATM melalui akaun Simpan SSPN Prime di bawah kendalian Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Pendekatan ini bukan sekadar bantuan kewangan bersifat one-off, sebaliknya satu pelaburan sosial strategik yang membudayakan disiplin menabung dan perancangan kewangan pendidikan sejak awal usia persekolahan, selari aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.

Sejak diperkenalkan pada 2024, seramai 5,690 murid menerima manfaat membabitkan peruntukan RM284,500.

Inisiatif itu diteruskan pada 2025 dengan penglibatan 3,775 murid dan jumlah peruntukan RM188,750.

Melalui Simpan SSPN Prime, penerima turut menikmati pelbagai kelebihan termasuk pelepasan cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun ke atas simpanan bersih, jaminan kerajaan, dividen tahunan kompetitif serta perlindungan takaful percuma bagi simpanan minimum RM1,000.

Pendeposit juga berpeluang menerima geran sepadan sehingga RM10,000 bagi keluarga yang layak.

Pada majlis sama, Mohamed Khaled turut menyampaikan sumbangan kebajikan RM34,000 kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman untuk diagihkan kepada anggota terjejas akibat banjir, selain bantuan RM10,000 kepada 20 anggota orang kurang upaya (OKU) dan pesakit kronik.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Malek Razak serta barisan kepimpinan tertinggi kementerian dan perkhidmatan ATM.

Yayasan LTAT menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh kerjasama strategik bersama PTPTN bagi memastikan akses simpanan pendidikan yang mampan dan menyeluruh kepada keluarga anggota ATM, selari dengan teras Ekonomi MADANI yang menekankan pembangunan modal insan serta kesejahteraan rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button