BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

Iran disahkan tarik diri pameran DSA dan NATSEC Asia 2026

KUALA LUMPUR – Iran disahkan menarik diri daripada menyertai pameran Defence Services Asia (DSA) dan National Security (NATSEC) Asia 2026 yang akan berlangsung bermula esok hingga Khamis ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan itu dipercayai berpunca daripada situasi semasa yang dihadapi negara berkenaan, termasuk isu melibatkan Selat Hormuz.

“Kita perlu memahami, menyedari dan menerima hakikat bahawa mereka sedang berdepan pelbagai cabaran. Jika mereka ingin melakukan perjalanan atau menghantar produk, sudah tentu akan timbul kesukaran. Atas sebab itu, mereka tidak dapat menyertai DSA tahun ini.

“Tiada unsur politik dalam perkara ini, sebaliknya ia berkaitan masalah dan cabaran yang dihadapi, termasuk isu di Selat Hormuz. Justeru, kita percaya terdapat kesukaran dari segi logistik dan perkara berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas meninjau persiapan akhir pameran itu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali serta pegawai kanan kementerian dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Tinjuan tersebut bertujuan memastikan semua aspek penganjuran, termasuk logistik ruang pameran seluas 45,000 meter persegi dan prosedur keselamatan, berada pada tahap kesiagaan penuh.

Sepanjang lawatan itu, Mohamed Khaled turut melawat beberapa zon pameran utama dan beramah mesra dengan petugas selepas menerima taklimat daripada syarikat penganjur, DSA Exhibition and Conference Sdn. Bhd.

Pameran dwitahunan edisi ke-19 itu yang mempamerkan teknologi serta aset peperangan elektronik terkini dalam sektor darat, udara dan laut bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, meskipun terdapat penarikan diri beberapa pihak termasuk Iran, penyertaan negara lain seperti China, Rusia dan Amerika Syarikat kekal kukuh.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui berlaku sedikit pengurangan kehadiran delegasi serta wakil syarikat berikutan peningkatan kos dan cabaran semasa.

“Walaupun berdepan cabaran, DSA dan NATSEC Asia tahun ini berjaya menghimpunkan 1,456 syarikat dari 63 negara, meningkat berbanding 1,324 syarikat dari 60 negara pada edisi 2024.

“Kita juga menyediakan 37 pavilion berbanding 38 sebelum ini, susulan penarikan diri Iran pada saat akhir,” jelasnya lagi.

Beliau berkata, antara negara dengan penyertaan terbesar ialah Turkiye, China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Itali, Amerika Syarikat, India dan Korea Selatan.

“Dari segi saiz pavilion, China mencatat penyertaan terbesar dengan 192 syarikat, diikuti Turkiye (87) dan Amerika Syarikat (83) manakala pameran kali ini turut menyaksikan penyertaan pavilion baharu dari Rusia, Finland, Hungary dan Jepun,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button