BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Remaja ditahan menyamar jadi polis, tahan gadis tengah malam

JASIN – Tindakan seorang remaja lelaki menyamar sebagai anggota polis untuk menakut-nakutkan seorang gadis awal pagi Rabu lalu membawa padah apabila dia berjaya diberkas pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat berkata, suspek berusia 18 tahun itu ditahan selepas mangsa, seorang gadis berusia 19 tahun, tampil membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Menurut beliau, dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi di persimpangan lampu isyarat Taman Debunga, Merlimau, mangsa yang menunggang motosikal telah didatangi seorang lelaki tidak dikenali menaiki motosikal Yamaha Y15.

“Suspek memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan meminta mangsa mengemukakan lesen memandu serta cuba mengambil kunci motosikal mangsa.

“Namun mangsa enggan menyerahkannya dan memaklumkan akan ke Balai Polis Merlimau jika dia benar-benar anggota polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Rusli, tindakan berani mangsa itu menyebabkan suspek panik lalu beredar dari lokasi kejadian.

Hasil risikan dan maklumat awam, suspek berjaya dikesan dan ditahan kira-kira pukul 9 malam semalam di sebuah pasar raya berhampiran Kawasan Perindustrian Telok Mas.

“Soal siasat awal mendapati suspek mengaku telah menyamar sebagai anggota polis dalam dua kejadian berasingan di kawasan Merlimau,” katanya.

Pihak polis turut merampas motosikal yang digunakan suspek serta beberapa barangan lain yang dipercayai berkaitan dengan kegiatan jenayahnya.

Suspek kini direman tiga hari sehingga 21 Julai bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button