LUAR NEGARA

Kilang pembekal dron Ukraine terbakar, Poland buka siasatan

WARSAW – Poland membuka siasatan berhubung kesalahan keganasan selepas kebakaran berlaku di sebuah kilang yang membekalkan komponen penting untuk dron kepada tentera Ukraine.

Pejabat Pendakwa Raya Nasional Poland dalam kenyataan memaklumkan, siasatan itu turut meneliti kemungkinan penglibatan perkhidmatan perisikan asing dalam kejadian berkenaan.

Menurut kenyataan itu, siasatan dijalankan bagi menyiasat penglibatan dalam aktiviti perkhidmatan perisikan asing yang ditujukan terhadap Republik Poland serta kesalahan keganasan iaitu sengaja menyebabkan kebakaran di premis kilang WB Electronics menggunakan alat yang mengandungi bahan mudah terbakar.

Kebakaran dilaporkan berlaku sejurus selepas tengah malam kelmarin di kemudahan WB Electronics di Skarzysko-Kamienna, selatan Warsaw.

Pasukan bomba mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengawal kebakaran berkenaan.

Kilang itu menghasilkan komponen penting bagi sistem dron yang digunakan oleh angkatan tentera Poland dan Ukraine termasuk dron FlyEye dan Warmate.

Agensi Keselamatan Dalam Negeri Poland turut membantu polis menjalankan siasatan, namun pihak berkuasa setakat ini tidak mendedahkan butiran lanjut berhubung kes berkenaan.

Seorang jurucakap agensi itu berkata, maklumat lanjut belum dapat didedahkan kepada umum berikutan sifatnya yang khusus dan sulit.

Walaupun tiada pihak dituduh secara rasmi setakat ini, Rusia secara meluas disyaki menjalankan operasi sabotaj di beberapa lokasi di Eropah yang mempunyai kaitan dengan sokongan terhadap Ukraine dalam menghadapi pencerobohan Moscow.

WB Electronics merupakan antara syarikat pertahanan swasta terbesar Poland yang mengeluarkan pelbagai peralatan ketenteraan termasuk dron, senjata berlegar, sistem kawalan tembakan serta peralatan dan platform komunikasi ketenteraan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button