BERITA SEMASA

Operasi cari nelayan hilang di Pulau Tenggol diperluas

DUNGUNSeramai 70 anggota pelbagai agensi dikerah dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang nelayan yang dikhuatiri hilang selepas bot dinaikinya terbalik di perairan Pulau Tenggol, dekat sini, Khamis lalu.

Operasi memasuki hari ketiga hari ini diperluas meliputi kawasan seluas 175.4 batu nautika persegi, selain bantuan daripada komuniti nelayan setempat.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata, operasi itu menggunakan aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Laut.

“Antara aset yang digunakan ialah bot Perkasa 1249 dan Kapal Maritim (KM) Jujur.

“Pihak polis turut menggunakan dron bagi membantu usaha mengesan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa, Sabrie Rusli, 32, dilaporkan keluar seorang diri untuk menangkap ikan kira-kira pukul 9 pagi Khamis lalu sebelum bot gentian kaca dinaikinya terbalik kira-kira pukul 5 petang ketika dalam perjalanan pulang.

Sabrie dipercayai sempat menghubungi isterinya, Amira Syahida Mat Hassan, 30, untuk meminta bantuan sebelum dipercayai terjatuh ke laut.

Amira bersama tiga anak mereka yang berusia antara enam hingga 12 tahun turut berada di Pos Kawalan Tempat Kejadian di Kuala Dungun bagi mengikuti perkembangan operasi SAR.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button