Dron disyaki serang pangkalan tentera UK di Cyprus
LONDON – Sebuah dron disyaki menyerang pangkalan tentera United Kingdom (UK) di Cyprus dalam kejadian lewat malam Ahad, ketika ketegangan di Asia Barat terus memuncak.
Kementerian Pertahanan UK berkata, insiden itu melibatkan RAF Akrotiri, sebuah pangkalan strategik yang digunakan bagi operasi udara di rantau berkenaan.
“Sistem keselamatan pangkalan segera diaktifkan pada tahap tertinggi sebaik ancaman dikesan.
“Angkatan Tentera kami sedang bertindak balas terhadap serangan dron yang disyaki di RAF Akrotiri. Langkah pertahanan telah diambil bagi melindungi anggota dan aset kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini, walaupun penduduk berhampiran mendakwa terdengar bunyi letupan dan siren kecemasan sekitar kawasan tersebut.
Insiden berkenaan berlaku hanya beberapa jam selepas Perdana Menteri UK, Keir Starmer, mengesahkan Britain bersetuju membenarkan Amerika Syarikat (AS) menggunakan pangkalan tenteranya termasuk di Cyprus bagi tujuan operasi ketenteraan jika perlu.
RAF Akrotiri sebelum itu digunakan untuk misi pemantauan, penerbangan sokongan dan operasi bersama AS di Asia Barat.
Beberapa laporan media antarabangsa menyebut dron yang digunakan berkemungkinan jenis Shahed-136, namun tiada pengesahan rasmi setakat ini.
Penganalisis geopolitik berpandangan serangan tersebut berpotensi meningkatkan lagi ketegangan antara Iran dan blok Barat, sekali gus menambah risiko konflik yang lebih meluas di rantau berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








