
JDT dikenakan penalti oleh FIFA
KUALA LUMPUR – Pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dikenakan levi pentadbiran kira-kira RM5,400 oleh Jawatankuasa Disiplin Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas gagal melepasi penilaian pematuhan mandatori di bawah Peraturan FIFA Clearing House.
Memetik laporan BH Online, hukuman itu membabitkan levi sebanyak 2.5 peratus ke atas 31 arahan pembayaran berasingan, susulan kelewatan pembayaran pampasan latihan kepada kelab pembangunan pemain berjumlah 44,878.68 euro (RM215,000).
Jumlah levi yang dikenakan dianggarkan 1,122 euro (RM5,400).
Menurut dokumen kes, 31 arahan pembayaran itu membabitkan perpindahan penyerang Colombia, Jorge Leonardo Obregon dari kelab Croatia, HNK Rijeka, serta penyerang kelahiran Brazil, Joao Figueiredo dari kelab Turkiye, RAMS Basaksehir.
Figueiredo sebelum ini turut menjadi antara tujuh pemain yang dikenakan penggantungan oleh FIFA dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dalam kes berprofil tinggi berkaitan proses naturalisasi yang membabitkan dokumen keturunan palsu.
Mengikut peraturan FIFA, kelab perlu melepasi proses saringan pematuhan mandatori sebelum FIFA Clearing House boleh memproses dan menyalurkan bayaran pampasan latihan kepada kelab yang berhak menerimanya.
Penilaian itu bertujuan memastikan pematuhan terhadap undang-undang berkaitan pencegahan pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan serta sekatan antarabangsa.
Kegagalan JDT melengkapkan proses saringan dalam tempoh ditetapkan menyebabkan kelab pembangunan pemain terbabit tidak menerima bayaran mengikut jadual.
“Jawatankuasa mengingatkan bahawa levi berkenaan berfungsi sebagai ganti kepada faedah bagi pembayaran lewat, memandangkan kegagalan pertama pihak responden dalam penilaian pematuhan menghalang kelab latihan daripada menerima ganjaran latihan mereka tepat pada masanya,” menurut dokumen berkenaan.
Dokumen itu turut mendedahkan JDT tidak mengemukakan pembelaan sebelum hukuman dimuktamadkan pada 22 September lalu, meskipun diberikan tempoh tiga hari untuk menjawab pertuduhan.
“Tiada jawapan dikemukakan oleh pihak responden dalam tempoh yang diberikan,” menurut dokumen itu.
Dokumen kes bertarikh 22 September berkenaan kemudian tersebar secara meluas di media sosial.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








