FIFA gesa negara asal pemain warisan buat laporan polis
KUALA LUMPUR – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menggesa persatuan bola sepak di negara asal tujuh pemain warisan Malaysia supaya membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terbabit dalam pemalsuan sijil kelahiran mereka.
Gesaan itu dinyatakan melalui keputusan penuh setebal lebih 60 muka surat, yang turut menegaskan bahawa pemalsuan dokumen rasmi bukan sekadar melanggar peraturan bola sepak, tetapi merupakan kesalahan jenayah melibatkan dokumen kerajaan luar negara.
Menurut FIFA, rekod kelahiran tujuh pemain terbabit dari Argentina, Brazil, Sepanyol dan Belanda didapati telah diubah sehingga menukar lokasi tempat lahir kepada beberapa kawasan di Malaysia seperti Malacca Straits Settlements, George Town Straits Settlements dan Johor.
“Pemalsuan adalah kesalahan jenayah di negara-negara ini, dan adalah penting pihak berkuasa dimaklumkan agar siasatan serta prosiding sewajarnya dapat dilakukan,” memetik laporan Awani.
FIFA turut mengarahkan sekretariatnya memaklumkan kepada pihak berkuasa jenayah di lima negara terbabit Malaysia, Argentina, Brazil, Sepanyol dan Belanda agar tindakan undang-undang diambil terhadap individu yang bertanggungjawab.
Badan induk itu turut memberi amaran bahawa mereka tidak teragak-agak mempertimbangkan tindakan tambahan sekiranya negara asal tidak mengambil langkah sewajarnya berhubung jenayah pemalsuan tersebut.
Isu itu mencetuskan perhatian apabila laporan siasatan FIFA mendapati dokumen dihantar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengandungi maklumat kelahiran yang telah diubah secara terancang sehingga menjejaskan integriti bola sepak antarabangsa.
Sebelum ini, Malaysia dikenakan denda sebanyak CHF 350,000 (RM 1,820,000) manakala tujuh pemain berkenaan digantung 12 bulan serta didenda CHF 2,000 (RM 10,420) setiap seorang.
FAM berkata, mereka akan membawa kes berkenaan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bagi tindakan lanjut.
Isu itu terus mendapat perhatian peminat bola sepak tempatan yang mahukan siasatan telus serta tindakan tegas diambil bagi memulihkan semula imej bola sepak negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






